Read Time:1 Minute, 28 Second
KOTA KINABALU: Sabah perlu menyelaraskan pembangunan pasaran buruh dengan kemajuan pendidikan, teknologi dan inovasi bagi memastikan negeri ini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. James Ratib berkata, pengukuhan pasaran buruh tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu pekerjaan, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh melalui pembangunan bakat, penguasaan teknologi serta sistem pendidikan yang responsif terhadap keperluan industri.
“Jika pendidikan, teknologi dan strategi pasaran buruh digerakkan secara selari, Sabah bukan sahaja mampu memperkukuh pasaran buruhnya, malah berpotensi muncul sebagai hab bakat dan inovasi di wilayah Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pelan Tindakan Pengukuhan Pasaran Buruh Negeri Sabah 2026 yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pembangunan ekosistem bakat yang kukuh memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, institusi pendidikan serta pihak industri bagi memastikan setiap dasar dan program pembangunan bakat dapat diselaraskan secara bersepadu.
Dalam hal itu, katanya Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah memberi penekanan kepada pengukuhan latihan teknologi tinggi, pembangunan inovasi serta peluasan capaian internet dan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut menyifatkan pendekatan perancangan pasaran buruh berasaskan data melalui platform MYFutureJobs sebagai langkah tepat dalam membantu memperkukuh analisis pasaran kerja serta meningkatkan padanan peluang pekerjaan.
“Penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri, program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) serta penglibatan aktif majikan dalam pembangunan latihan merupakan antara langkah penting bagi memastikan graduan Sabah memiliki kemahiran teknologi yang relevan dengan kehendak pasaran,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang menyampaikan ucapan penutup bengkel berkenaan.
Hadir sama Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Datuk Asri Abdul Rahman.






