Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah pandang serius ancaman perjudian dalam talian terhadap pelajar, belia

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memandang serius terhadap peningkatan aktiviti perjudian dalam talian yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan pelajar di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membawa implikasi sosial, kewangan dan keselamatan yang besar kepada keluarga serta komuniti.

Katanya, usaha memerangi perjudian dalam talian melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MCMC bertanggungjawab dari sudut kawal selia rangkaian dan platform komunikasi, termasuk tindakan menyekat laman web, aplikasi serta kandungan yang mempromosikan atau memudahkan perjudian dalam talian. 

“Pihak kementerian menyokong sepenuhnya tindakan berterusan MCMC dalam memperkukuh pemantauan, sekatan laman web haram serta kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengekang akses kepada platform perjudian.

“PDRM pula memainkan peranan penguatkuasaan undang-undang secara langsung melalui siasatan, tangkapan dan pendakwaan ke atas sindiket serta individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian. 

“Kerjasama rapat antara PDRM dan MCMC amat penting bagi memastikan tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diambil, termasuk membanteras rangkaian sindiket yang beroperasi secara rentas sempadan dan menggunakan modus operandi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Pasukan Penguatkuasa MCMC Sabah di pejabatnya di sini pada Selasa.

James berkata, kementeriannya juga akan memperkukuh aspek pendidikan dan kesedaran digital dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru berhubung risiko perjudian dalam talian, penipuan siber serta keselamatan penggunaan internet.

Katanya, pendekatan pencegahan melalui literasi digital, bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai turut menjadi tumpuan kementerian, seiring dengan tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

” Kerajaan Negeri menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, komuniti setempat, pemimpin masyarakat serta ibu bapa untuk bersama-sama memainkan peranan membendung gejala ini.

” Aduan masyarakat berkaitan perjudian dalam talian hendaklah disalurkan kepada pihak MCMC dan PDRM melalui saluran aduan rasmi yang disediakan,” katanyaml.

Menurutnya lagi, pihaknya akan terus komited untuk terus bekerjasama rapat dengan MCMC, PDRM serta agensi berkaitan bagi memastikan ruang siber di Sabah kekal selamat, beretika dan sihat untuk pembangunan pendidikan serta masa depan anak-anak. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE