Read Time:2 Minute, 1 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+) sebagai bukti kesiapsiagaan negeri untuk berdagang secara bertanggungjawab, melindungi hutan demi generasi akan datang, serta kekal sebagai peneraju yang dipercayai dalam ekonomi hijau global.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan secara menyeluruh aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
“Ini meletakkan Sabah di barisan hadapan jangkaan peraturan dan pasaran global,” katanya ketika merasmikan pelancaran Buku Sabah TLAS+ di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata Buku Sabah TLAS+ dihasilkan sebagai tindak balas terhadap perkembangan pasaran global, termasuk EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, yang menuntut produk kayu bukan sahaja sah dari segi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki dan melalui penilaian risiko yang ketat.
“Kerajaan Negeri, menerusi Jabatan Perhutanan Sabah, telah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah-Malaysia pada tahun 2024 bagi menaik taraf sistem sedia ada kepada Sabah TLAS+.
“Peningkatan ini memastikan rangka kerja tadbir urus kita kekal sejajar dengan piawaian antarabangsa, di samping memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, Sabah TLAS+ mengintegrasikan elemen tadbir urus termaju, termasuk kebolehjejakan digital, geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang diperkukuh.
“la memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan bebas penebangan hutan dan bebas degradasi hutan. Selain itu, ia turut merangkumi prinsip sukarela yang sejajar dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU CS3D), sekali gus memperkasa syarikat untuk memperkukuh pengurusan risiko hak asasi manusia dan alam sekitar selaras dengan jangkaan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) global.
Hajiji berkata, secara praktikal, pengeluar kayu Sabah kini bukan sekadar memenuhi piawaian undang-undang minimum, malah dilengkapi keupayaan untuk membuktikan pematuhan yang telus dan bersedia ESG bagi pasaran dunia yang paling menuntut.
“Sabah kini terbuka untuk perniagaan lestari. Kayu-kayan kami adalah sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan yang diberikan.
“Kami menghargai kerjasama ini dan menantikan peluasan kerjasama ke bidang baharu, termasuk pendidikan dan pemuliharaan. Saya juga memuji Jabatan Perhutanan Sabah serta pemain industri dan pihak berkepentingan kerana merealisasikan visi ini,” katanya.






