Read Time:1 Minute, 43 Second
KOTA KINABALU : Sabah kekal mencatatkan jumlah kes tuberkulosis (Tibi) tertinggi di Malaysia dengan 755 kes, daripada keseluruhan 3,161 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi keenam tahun ini (ME 6/2026).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 596 kes baharu Tibi dikesan di seluruh negara setakat ini.
Negeri-negeri lain yang turut mencatat kes tinggi termasuk Selangor (596 kes), Sarawak (332 kes), Johor (280 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (244 kes).
Selain itu, beberapa negeri lain lain mencatatkan kes lebih rendah, termasuk Kedah (181 kes); Pulau Pinang (172 kes), Perak (154 kes), Kelantan (121 kes), Pahang (103 kes), Terengganu (74 kes), Negeri Sembilan (62 kes), Melaka (48 kes), Perlis (21 kes) dan Labuan (18 kes).
Pada ME 5/2026, Sabah mencatatkan jumlah kes Tibi sebanyak 614 kes, daripada keseluruhan 2,571 kes yang dilaporkan sebelum ini.
Justeru KKM menyarankan orang ramai untuk terus mengamalkan langkah kesihatan kendiri secara konsisten, termasuk dari segi kesihatan pernafasan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut kenyataan itu lagi, Tibi merupakan penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh merebak apabila seseorang yang menghidap Tibi paru-paru aktif batuk, bercakap atau bersin.
Walau bagaimanapun, Tibi lazimnya tidak merebak dengan cepat seperti influenza atau COVID-19 dan biasanya memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang.
“Risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, khususnya jika terdapat individu dengan Tibi aktif yang belum menjalani rawatan.
“Namun, risiko sebenar bergantung kepada beberapa faktor termasuk tempoh pendedahan, keadaan pengudaraan dan tahap kesihatan individu terlibat.
“Perlu ditegaskan bahawa Ramadan bukanlah punca kepada penularan Tibi. Walau bagaimanapun, peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan ini secara umumnya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul selain memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup.
Selain itu, orang ramai juga perlu memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat yang sesak
“Mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau gejala lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA






