Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah kaji subsidi deposit rumah pertama untuk golongan muda daif

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan kajian Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama bagi membantu golongan muda yang daif memiliki kediaman sendiri, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi berkata, kajian itu akan diteliti dan disediakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, termasuk syarat serta kriteria kelayakan penerimanya.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian bagi memberi Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang daif. Walau bagaimanapun, kriteria dan syarat-syarat kelayakan akan diteliti dan disediakan oleh pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya dalam ucapan Belanjawan Sabah 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Masidi yang merupakan Menteri Kewangan menjelaskan bahawa usaha tersebut seiring komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh program pembasmian kemiskinan di Sabah.

Menurutnya, Kerajaan Sabah bersama Kerajaan Persekutuan melaksanakan Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar, di bawah Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah. Program ini memberi tumpuan kepada lima intervensi utama iaitu: Perumahan; Pekerjaan; Pendidikan; Kebajikan dan Kewangan; Keusahawanan serta Latihan yang bertujuan membantu Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar keluar daripada kancah kemiskinan.

Masidi berkata, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilancarkan pada 2025 menyediakan bantuan kewangan RM300 sebulan kepada 100,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar bagi meringankan beban sara hidup mereka.

“Alhamdulillah, pada 26 Ogos 2025, Sabah mencatat kejayaan mencapai sifar miskin tegar. Berdasarkan data eKasih setakat 3 November 2025, Sabah telah merekodkan sifar KIR miskin tegar, manakala 55,782 KIR masih berstatus miskin dan menjadi fokus intervensi selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, pembasmian kemiskinan akan terus menjadi keutamaan kerajaan pada 2026, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu 2024 yang dijangka meningkatkan angka kemiskinan sehingga 30 peratus.

Bagi mengimbangi peningkatan angka kemiskinan berikutan pelaksanaan kadar PGK tersebut, Masidi berkata kerajaan akan memperkasa program berimpak tinggi seperti MySMJ Profiling, Rumah Mesra SMJ, Bantuan Pendidikan, MySMJ Kerja dan Program SYUKUR.

“Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan Yang Mulia ini, Kerajaan akan menambah bilangan kuota Rumah Mesra SMJ dari 40 buah kepada 50 buah bagi setiap DUN pada tahun 2026.

“Penambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ tersebut adalah dikhaskan kepada mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah yang telah berumah tangga dan tidak memiliki rumah,” tambahnya.

LEAVE A RESPONSE