Read Time:1 Minute, 57 Second
KOTA KINABALU: Prinsip “Sabah First” kekal menjadi teras kepada setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pendekatan itu turut menekankan pengurusan hasil negeri secara bertanggungjawab serta peluasan peluang ekonomi yang adil dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya berharap seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama dapat bersama-sama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya ketika berucap pada majlis Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Menurut Hajiji, tahun 2026 menandakan lembaran baharu pembangunan Sabah, selari dengan fasa pasca Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 yang lalu.
Katanya, jika Pelan Pembangunan SMJ 1.0 menumpukan kepada fasa pemulihan, penyusunan semula dan penstabilan, SMJ 2.0 pula memberi fokus kepada fasa lonjakan merangkumi peningkatan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri.
“Kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan yang tepat. Justeru, SMJ 2.0 menuntut perubahan berterusan dalam mempertingkatkan keupayaan diri, termasuk cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata hala tuju tersebut selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2030, dengan Kerajaan Negeri kekal komited menjadikan SMJ 2.0 sebagai kerangka pembangunan menyeluruh berteraskan perpaduan rakyat, kestabilan politik serta pembangunan inklusif dan mampan.
Menyentuh penganjuran Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang, Hajiji berkata acara itu bukan sekadar gabungan perayaan, sebaliknya melambangkan nilai saling menghormati, kebersamaan dan kasih sayang yang telah sekian lama menjadi amalan rakyat Sabah.
“Keharmonian inilah yang menjadikan Sabah sebuah negeri yang aman, stabil dan dicontohi, dengan rakyat pelbagai etnik dan kepercayaan hidup bersama dalam suasana saling memahami,” katanya.
Berhubung usaha memecahkan rekod Yee Sang terpanjang ASEAN sepanjang 1,500 meter, beliau berkata pencapaian itu membawa makna besar melangkaui angka atau ukuran fizikal.
“Ia simbol penyatuan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan, disatukan dalam satu niat dan tujuan untuk membina serta memajukan negeri yang kita cintai bersama,” katanya.
Beliau turut berharap acara berkenaan dapat menyemai semangat kerjasama melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, usahawan dan orang awam, sekali gus memperkukuh hubungan strategik ASEAN dalam bidang pelancongan, perdagangan dan pelaburan.






