Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah Festival of Ideas 2025: KV Keningau menyerlah, raih anugerah Khas Sekolah Paling Inovatif

Read Time:2 Minute, 2 Second

oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Kolej Vokasional (KV) Keningau terus mengukuhkan rekod cemerlangnya apabila menambah satu lagi kejayaan di pentas pertandingan berprestij, kali ini di Sabah Festival of Ideas 2025.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 16 hingga 17 Oktober itu, KV Keningau membuktikan dominasi mereka apabila berjaya mengumpul 15 pingat emas dan lima pingat perak melalui projek daripada pelbagai program iaitu teknologi pembinaan, teknologi elektrik, seni kulinari, kosmetologi, teknologi automotif, bakeri dan pastri, pengurusan perniagaan serta pendidikan inklusif.

Dengan kutipan keseluruhan 20 pingat, kolej itu turut menerima Anugerah Khas Sekolah Paling Inovatif, yang disampaikan dalam satu majlis perasmian oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud. Anugerah tersebut diterima oleh semua warga kolej hadir dengan diketuai oleh pengarah kolej, Lumang anak Lang.

Lumang menzahirkan rasa bangga dan gembira atas pencapaian para pelajar serta guru-guru yang membimbing mereka.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan di kolej vokasional berada di landasan yang betul dalam melatih pelajar menguasai kemahiran teknikal serta mengaplikasikannya untuk menyelesaikan masalah dan membantu komuniti melalui projek inovasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, seramai 35 pelajar dan 12 guru dari KV Keningau telah mempertandingkan 20 projek di festival anjuran UMS bersama beberapa organisasi rakan universiti tersebut.

“KV Keningau berjaya memenangi empat anugerah STEM Pioneers dalam tiga kategori berbeza dan turut dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan. Selain itu, kolej ini turut meraih Anugerah Permata Kearifan (kategori Seni dan Kraf Tangan) serta Anugerah Sekolah Paling Inovatif,” katanya.

Antara kejayaan utama ialah projek Eco Mush Block, hasil inovasi dua pelajar Pengurusan Perniagaan, Batrisya Jeffley dan Vivianey Frederic, bersama guru pembimbing Lizah Dullah. Projek itu, yang menghasilkan bahan bakar daripada bongkah cendawan terpakai, dinobatkan sebagai pemenang anugerah STEM Pioneers kategori Inovasi Kelestarian Hijau dengan hadiah wang ringgit RM 200 dan pemenang keseluruhan STEM Pioneers, dengan hadiah wang tunai RM1,000.

Sementara itu, pasukan program Bakeri dan Pastri yang terdiri daripada Aishah Humaira, Muhd Fadzrul dan Afifah Ridwana bersama guru pembimbing Anita Md. Yasin, memenangi STEM Pioneers kategori Keterjaminan Makanan dan Kehidupan Sihat melalui inovasi roti “Mochia Bread,” sekali gus membawa pulang RM200.

Pasukan Teknologi Automotif yang diwakili pelajar Dexter Erwinn Darmawan bersama guru pembimbing Freadoline Fook Liew pula memenangi STEM Pioneers kategori Ketahanan Komuniti dan Penyelesaian Masalah Kehidupan Seharian menerusi inovasi “Fuel Injector Cleaner”, turut menerima RM200.

Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS, Profesor Dr. Jidon @ Adrian Janaun, turut memuji penyertaan aktif KV Keningau, menyifatkan mereka sebagai institusi yang memiliki identiti inovatif tersendiri.

LEAVE A RESPONSE