Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah Electricity sumbang RM5.2 juta melalui inisiatif CSR, perkasa kesejahteraan rakyat

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd telah menyumbang sebanyak RM5.2 juta menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memperkasa komuniti, menyokong pendidikan, meningkatkan kebajikan serta memelihara alam sekitar di Sabah.

Ketua Pegawai Komunikasi Korporat Sabah Electricity, Lisa Wan Siew Han, berkata usaha berkenaan akan diteruskan pada tahun 2026 selaras dengan komitmen berterusan syarikat itu dalam memperkasa kesejahteraan rakyat Sabah.

“Melalui CSR, kami bukan sahaja membekalkan tenaga kepada rumah dan industri, tetapi turut menyemarakkan hati dan harapan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Sabah Electricity Bersama Media di Sabah Golf & Country Club (SGCC), di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan Sesi Penyerahan Sumbangan CSR Sabah Electricity kepada 10 orang wakil media yang terdiri daripada ahli Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan Kota Kinabalu Journalist Association (KKJA).

Menurut Lisa, tahun 2026 dijangka menjadi tempoh penting buat Sabah Electricity dengan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang bukan sahaja signifikan kepada pembangunan sektor tenaga negeri, malah menjadi mercu tanda dalam perjalanan syarikat ke arah pertumbuhan mampan.

Beliau berkata projek-projek tersebut turut membuka ruang kepada rakan media untuk membuat liputan dan penceritaan yang bermakna kepada rakyat, sekali gus memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap hala tuju pembangunan tenaga di Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media atas sokongan dan kerjasama berterusan, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan telus, termasuk ketika berdepan situasi krisis.

“Hubungan strategik bersama media amat penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang seimbang dan berintegriti kepada rakyat,” katanya.

Lisa menegaskan jamuan media itu bukan sekadar pertemuan santai, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap jalinan kerjasama, kepercayaan dan tanggungjawab bersama antara Sabah Electricity dan media.

Beliau berharap hubungan berkenaan akan terus diperkukuh demi menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan berimbang serta bersama-sama menyumbang ke arah kemajuan Sabah dan kesejahteraan rakyatnya.

LEAVE A RESPONSE