Sabah Electricity siap siaga pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang PRN Sabah, termasuk hari pengiraan undi
Read Time:2 Minute, 2 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di seluruh negeri akan kekal stabil sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, termasuk pada hari penamaan calon, pengundian awal, hari mengundi dan semasa proses pengiraan undi.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, berkata Sabah Electricity telah membuat persediaan rapi sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan kelancaran bekalan tenaga sepanjang tempoh penting itu.
“Kita sebenarnya sudah bersedia sejak beberapa bulan yang lalu bagi menghadapi pilihan raya. Sabah Electricity mempunyai genset (penjana elektrik) di setiap bahagian bagi memastikan bekalan elektrik stabil semasa tempoh kempen dan juga semasa hari-hari penting seperti penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perasmian Sabah Electricity Vendor Day 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Mohd Yaakob, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pendawaian dan keselamatan di dewan-dewan digunakan berada pada tahap terbaik.
“Kita juga turut menyediakan emergency light (lampu kecemasan) sebagai langkah sandaran sekiranya berlaku gangguan bekalan,” katanya.
Bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh, hampir 800 anggota kerja Sabah Electricity akan digerakkan sepanjang tiga hari penting hari penamaan calon, pengundian awal dan pengiraan undi.
“Kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan kelebihan kepada petugas Sabah Electricity untuk mengundi awal. Sebelum ini, mereka perlu bertugas pada hari mengundi biasa, tetapi kini mereka dapat menunaikan tanggungjawab lebih awal dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas semasa pilihan raya,” jelasnya.
Ditanya mengenai jaminan kestabilan bekalan pada hari pengundian, beliau optimis bahawa segala persediaan yang dilakukan akan memastikan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa gangguan tenaga.
“Berdasarkan pengalaman beberapa kali mengendalikan pilihan raya sebelum ini, kali ini kita lebih bersedia. Jumlah genset yang disediakan mencukupi bagi memastikan kelancaran bekalan elektrik sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu, Mohd Yaakob berkata sistem itu telah mula beroperasi pada 12 Jun lalu dan berfungsi sepenuhnya seperti yang direka bentuk.
“Insya-Allah, pelancaran rasmi bagi sistem bateri tersebut akan dilaksanakan pada bulan Disember ini,” katanya.
Ketika ditanya selepas kejayaan projek BESS Lahad Datu, adakah projek itu akan dilaksanakan di kawasan lain. Beliau menjawab, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan membuka bidaan baharu bagi satu lagi projek BESS di lokasi yang akan ditentukan kemudian.
“Sebagai pemain industri, Sabah Electricity juga akan menyertai proses open bidding yang akan dikendalikan oleh pihak ECoS,” katanya.