Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sabah diberi penghormatan anjur sukan BIMP-EAGA kali kedua November depan

Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah Sukan Persahabatan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) 2026 yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 November depan di Kota Kinabalu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemilihan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Sukan BIMP-EAGA yang berlangsung salah sebuah hotel di sini.

“Sabah dan Kota Kinabalu dipilih sebagai tuan rumah buat kali kedua dan ini merupakan satu penghormatan besar kepada negeri kita.

“Sukan ini akan menawarkan sebanyak 98 pingat emas merangkumi sembilan acara sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di sini pada Selasa.

Pada mesyuarat itu, Nizam turut menyaksikan penyerahan jawatan pengerusi daripada Indonesia kepada Sabah yang sebulat suara melantik Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datuk Mansur Asun sebagai Pengerusi baharu Majlis Sukan BIMP-EAGA.

Menurutnya, antara acara yang dipertandingkan termasuklah badminton, sepak takraw, pencak silat, e-sukan, karate, boling padang, renang dan olahraga.

Beliau berkata, temasya dwitahunan itu melibatkan atlet berusia 21 tahun ke bawah dan berperanan sebagai platform pembangunan bakat serta pendedahan kepada atlet muda Sabah.

“Ia merupakan sukan persahabatan yang bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, tetapi juga ruang untuk menilai prestasi atlet muda serta mencungkil bakat baharu.

“Pada masa sama, ia mampu merapatkan hubungan antara negara anggota BIMP-EAGA melalui semangat kesukanan,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, temasya itu dijangka menghimpunkan kira-kira 3,000 atlet dan pegawai, manakala kontinjen Sabah dianggarkan melibatkan sekitar 193 atlet.

Katanya, penyertaan turut membabitkan wilayah dari Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain beberapa wilayah dari Indonesia, Filipina serta Brunei.

Mengulas mengenai persiapan, beliau memberi jaminan semua fasiliti dan venue pertandingan akan berada dalam keadaan terbaik sebelum temasya berlangsung.

“Kita akan memastikan semua venue yang terlibat berada dalam keadaan baik dan bersedia sepenuhnya untuk penganjuran sukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sasaran pingat emas bagi kontinjen Sabah masih dalam penelitian.

Justeru Nizam mempelawa orang ramai khususnya rakyat Sabah untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan temasya dan memberi sokongan kepada atlet yang bertanding.

“Kita berharap atlet Sabah yang terpilih dapat menunjukkan prestasi terbaik dan mengharumkan nama negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE