Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Sabah bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM 6.402 bilion, catat lebihan RM28 juta


Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU :  Kerajaan Sabah membentangkan belanjawan negeri sebanyak RM6.402 bilion untuk tahun 2026, berbanding anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM6.430 bilion .

Belanjawan itu yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah petang tadi dimana ia menyaksikan lebihan sebanyak RM28 juta.

Katanya, belanjawan bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’ itu akan menjadi tonggak untuk merealisasikan tema tersebut selepas Kerajaan baharu dibentuk untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Pilihan Raya Sabah baru saja selesai. Kerajaan yang baharu dibentuk akan melaksanakan amanah rakyat untuk tempoh lima tahun lagi.

“Dengan penuh iltizam dan hasrat mendalam untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada kemajuan serta taraf hidup rakyat, Belanjawan Sabah 2026 akan menjadi tonggak untuk merealisasikan tema tersebut.

“Kerajaan Sabah berhasrat untuk meningkatkan program dan aktiviti berorientasikan pembangunan bagi memangkin pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang, menyedia peluang pekerjaan dan menambah prasarana serta kemudahan fizikal bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, program dan aktiviti di bawah Vot Perbelanjaan Perbekalan dan Vot Perbelanjaan Pembangunan diselaraskan mengikut jenis perbelanjaan masing-masing bermula tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Jumaat.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sabah  telah  mengorak  langkah  menurunkan  nisbah  jurang di antara Perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan.

Katanya, Perbelanjaan Perbekalan menunjukkan nisbah 86 peratus pada tahun 2024 menurun kepada 85 peratus pada tahun ini dan dicadangkan menurun lagi kepada 78 peratus pada tahun 2026.

“Usaha ini akan terus dipergiat bagi memastikan Perbelanjaan Pembangunan ditingkatkan untuk memberi impak signifikan kepada pembangunan Sabah secara inklusif,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

LEAVE A RESPONSE