Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah bakal kemuka semula permohonan bina jambatan Labuan-Menumbok – Hajiji

Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh Rhea Dharmin

KUALA PENYU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya akan mengemukakan semula permohonan untuk membina jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah.

Beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah berkata perkara itu bakal memberi manfaat kepada negeri ini khususnya daerah Kuala Penyu sekiranya direalisasikan.

“Kita ulang balik permohonan ini kepada kerajaan Persekutuan supaya membina jambatan yang menghubungkan Pulau Labuan dan juga tanah besar negeri Sabah.

“Kalau (jambatan) itu dibina, saya ingat Kuala Penyu dan Menumbok ini akan mendapat kemudahan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategi Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok bertempat di
Tapak Tamu Pekan Menumbok, di sini, hari ini.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury menyatakan harapan dapat dilaksanakan.

“Saya ingat (isu berkaitan pembinaan jambatan Menumbok-Labuan) sudah begitu lama untuk dilaksanakan tetapi kerajaan bertukar-tukar.

“Berharap kerajaan yang ada sekarang ini termasuklah kerajaan MADANI dan GRS dikekalkan supaya segala perancangan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kontrak kajian teknikal bagi projek jambatan menghubungkan Labuan ke Sabah telah diberikan (kepada sebuah syarikat) pada Mei lepas dan dijangka siap November tahun depan.

LEAVE A RESPONSE