Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ruslan Muharam terima gelaran Janang Gayuh, pengiktirafan tertinggi masyarakat Bisaya


Read Time:1 Minute, 32 Second

BEAUFORT : Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Datuk Ruslan Muharam dianugerahkan gelaran Janang Gayuh iaitu pengiktirafan tertinggi persatuan itu atas sumbangan dan kepimpinan beliau kepada masyarakat Bisaya.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di sini pada Sabtu.

Ruslan ketika ditemui berkata, pengiktirafan itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar hasil penilaian berterusan terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau  kepada masyarakat khususnya etnik Bisaya.

Beliau menyatakan rasa gembira dan penuh kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan bahawa penganugerahan itu bukan dibuat secara automatik walaupun beliau telah memegang jawatan Presiden selama empat tahun sebelum ini.

Menurutnya, seseorang tidak boleh terus dilantik sebagai Janang Gayuh tanpa melalui proses penilaian yang ditetapkan, iaitu berkhidmat sekurang-kurangnya satu penggal selama tiga tahun untuk dinilai oleh kepimpinan dan masyarakat Bisaya sendiri.

“Tempoh tiga tahun satu penggal itu menjadi asas penilaian terhadap khidmat, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.

“Penilaian tersebut dibuat oleh pemimpin Bisaya serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, selepas tempoh penilaian itu, perkara berkenaan telah dibawa untuk diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AMT) PBBS sebelum diperhalusi di peringkat Majlis Tertinggi (MT).

Menurutnya, MT kemudiannya melantik sebuah panel khas bagi menilai secara terperinci pencalonan tersebut, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Hanya selepas panel berpuas hati dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, barulah pelantikan Janang Gayuh ini direalisasikan, seperti yang kita saksikan hari ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa proses telus dan berperingkat itu mencerminkan komitmen masyarakat Bisaya dalam memastikan gelaran tertinggi tersebut diberikan kepada individu yang benar-benar layak dan berwibawa.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching.

LEAVE A RESPONSE