Read Time:1 Minute, 31 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 telah mencapai kata sepakat.
Beliau berkata semua parti dalam GRS telah selesai berbincang dan hanya tinggal satu atau dua kerusi yang masih dalam perbincangan kecil sebelum diumumkan secara rasmi.
“Jangan risau, sebenarnya sudah selesai. Kita cuma tidak boleh umum awal. Kalau ada pun, mungkin satu dua kerusi saja yang masih dalam rundingan. Secara keseluruhan, semuanya sudah mencapai kata sepakat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di sini, sambil menyeru semua jentera parti di setiap bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi supaya mula bekerja keras dari sekarang hingga ke hari penamaan calon dan hari pengundian.
“Dengan pelancaran ini, kita minta semua jentera pilihan raya di peringkat cawangan, pusat daerah mengundi dan bahagian mesti bekerja keras daripada sekarang sehinggalah hari pembuangan undi,” katanya.
Menurut Hajiji, semangat jentera di setiap bahagian jelas menunjukkan kesiapsiagaan mereka untuk berdepan pilihan raya akan datang.
“Memang ramai jentera di setiap bahagian, ikut daerah mengundi masing-masing. Walaupun saya tidak ada angka sebenar, tapi saya nampak cukup bersemangat. Itulah politik semua mahu memastikan parti mereka menang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran jentera GRS bukan hanya dilakukan di peringkat negeri, malah kebanyakan bahagian telah melaksanakannya lebih awal.
“Di setiap bahagian sudah ada. Ada yang sudah buat, ada yang sudah lancar sendiri. Yang ini hanya acara rasminya saja,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji enggan mengulas panjang mengenai kenyataan sinis yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin terhadap parti-parti tempatan.
“Biarlah dia cakap begitu. Orang tahu style Bung Moktar. Saya tidak mahu komen hal begitu,” katanya ringkas.