Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Rumah tengkorak bakal jadi ikon baharu pelancongan Murut di Tenom


Read Time:1 Minute, 39 Second

TENOM: Sabah terus komited untuk memperkasa pelancongan berasaskan warisan menerusi pelaksanaan Projek Meningkatkan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom (PKMST).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif strategik yang memberi penekanan kepada pemeliharaan identiti budaya masyarakat Murut, di samping meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri secara mampan.

Beliau berkata, pendekatan pembangunan projek itu berteraskan prinsip keaslian, penceritaan sejarah serta pengalaman ruang yang imersif, bagi memastikan pengunjung bukan sahaja melihat, tetapi turut menghayati warisan budaya masyarakat Murut.

“Antara komponen utama projek ini adalah pembinaan Rumah Tengkorak yang bakal menjadi bangunan ikonik dan tarikan utama di kawasan tersebut.

“Bangunan ini akan berfungsi sebagai pusat interpretasi budaya yang menempatkan pameran sejarah, artifak tradisional serta ruang tayangan bagi memperkenalkan asal-usul masyarakat Murut kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan projek berkenaan di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang.

Jafry berkata, reka bentuk Rumah Tengkorak itu diterjemahkan secara simbolik sebagai lambang sejarah dan warisan, dengan susun atur ruang yang membawa pengunjung melalui satu perjalanan penceritaan budaya yang tersusun dan bermakna.

Selain itu katanya, projek berkenaan turut merangkumi pembangunan 10 unit pondok kuburan yang mewakili pelbagai sub-etnik Murut seperti Tagol, Timugon dan Tangara, dengan setiap struktur direka berasaskan identiti seni bina tersendiri.

Katanya, pembangunan itu bukan sahaja berperanan sebagai produk pelancongan, malah sebagai platform pendidikan dan pemahaman sejarah yang mampu memperkukuh identiti budaya tempatan.

“Ia juga dijangka memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan serta program interpretasi budaya,” katanya.

Projek yang bermula pada 6 Mei 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei 2026 dengan kos kontrak berjumlah RM825,559.60.

Jafry yakin projek berkenaan akan muncul sebagai ikon pelancongan budaya baharu yang signifikan di Sabah, khususnya di Tenom, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan warisan bertaraf dunia.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap aspek pembangunan projek dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti budaya serta mematuhi prinsip pemuliharaan warisan bagi memastikan kelestarian jangka panjang.

LEAVE A RESPONSE