Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Rumah SMJ beri kelegaan kepada belia berumahtangga

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

BALUNG: Inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan negeri terus membawa kelegaan besar kepada golongan muda, khususnya pasangan baharu berkahwin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung.

Menurut Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Balung, Datuk Hamild Awang, program itu bukan sahaja membantu mengurangkan beban pasangan muda memiliki rumah pertama, malah menjadi simbol keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Mereka gembira, terutama yang baharu berumah tangga kerana rumah SMJ yang ditambah sebanyak 10 unit bagi setiap kawasan DUN memang ditujukan kepada anak-anak muda agar mereka mempunyai rumah sendiri,” katanya kepada Sabah Media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan Program Rumah SMJ di DUN Balung sejak diperkenalkan pada 2022 oleh kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Hamild berkata, sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2022, setiap DUN menerima 20 buah rumah dan jumlah tersebut meningkat kepada 40 buah rumah pada tahun ini, dengan tambahan 10 unit khas untuk pasangan muda, menjadikan keseluruhan 50 buah rumah bagi setiap kawasan.

“Setakat ini, kira-kira 60 buah rumah sudah siap dibina di kawasan Balung, manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan. Program ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, khususnya golongan muda yang ingin membina kehidupan sendiri,” jelasnya.

Hamild menambah, perhatian terhadap generasi muda tidak hanya terhad kepada penyediaan rumah, tetapi turut merangkumi peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Kerajaan negeri sentiasa menaruh perhatian tinggi terhadap pengundi muda, belia dan beliawanis. Kita membantu mereka melalui pelbagai program seperti bantuan modal, kursus keusahawanan, dan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha ini turut mendapat sambutan positif dalam kalangan belia Balung yang melihat kerajaan sebagai rakan pembangunan masa depan mereka, bukan sekadar pentadbir.

LEAVE A RESPONSE