Read Time:1 Minute, 54 Second
TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi menegaskan komitmennya untuk mewujudkan pusat rekreasi khusus bagi golongan belia sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan riadah amat diperlukan ketika ini memandangkan anak muda di beberapa kawasan termasuk Bombalai, Kijang, Kuala Merotai, Taman Semarak dan Hot Spring tidak mempunyai kawasan rekreasi yang terancang.
“Belia di Merotai serta kawasan sekitarnya sangat aktif, namun mereka tidak mempunyai pusat rekreasi. Jika di bandar Tawau terdapat kompleks sukan dan taman perumahan yang lengkap, kawasan luar bandar seperti ini masih kekurangan kemudahan sedemikian.
“Sekiranya diberi peluang dalam tempoh lima tahun, kita akan berusaha mewujudkan kawasan riadah untuk manfaat golongan belia. Kosnya tidak terlalu besar, asalkan terdapat kawasan lapang yang boleh dinaik taraf,” katanya ketika ditemui dalam program Walkabout di Pasar Hot Spring dan Pasar Sin Onn, di sini, hari ini.
Ruji berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada aspirasinya untuk memastikan pembangunan Merotai selaras dengan kemajuan kawasan lain di Tawau.
Mengulas mengenai gerak kerja kempen hariannya, beliau berkata, sekurang-kurangnya 15 program dilaksanakan setiap hari bagi mendekati penduduk dan memperkenalkan dirinya sebagai calon.
“Sambutan sangat menggalakkan. Ada yang saya temui dua atau tiga kali. Saya meminta mereka agar memberikan sokongan jika mahu melihat perubahan khususnya di Merotai dan Hot Spring,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ruji turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelbagai bantuan yang disalurkan kepada Sabah, dan berharap kerjasama baik itu dapat diteruskan.
Menurut beliau, beberapa aduan berkaitan infrastruktur turut diterima sepanjang walkabout, dan perkara itu telah dirujuk kepada Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hot Spring untuk tindakan lanjut.
“Ada aduan yang sudah begitu lama tidak diperbaiki. Inilah kepentingan turun padang, untuk mengenal pasti masalah dan membawa perkara ini kepada pihak berwajib,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Ruji turut menyatakan hasrat untuk mentransformasikan pekan Merotai sebagai sebuah bandar baharu sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi.
“Tujuan saya bertanding adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh ketika memimpin di kementerian. Saya mahu Merotai dibangunkan sebagai pekan baharu yang lebih tersusun,” jelasnya.
Beliau yakin pembangunan pusat rekreasi dan usaha pembangunan lain mampu direalisasikan dengan lebih cepat sekiranya wakil rakyat yang dipilih sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, kemudahan berkenaan penting untuk menyediakan ruang beriadah kepada belia serta menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup penduduk setempat.






