Read Time:2 Minute, 42 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif tahun ini sebagai komitmen dalam membangunkan sektor belia dan sukan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Daripada jumlah tersebut RM16.75 juta adalah khusus untuk pembangunan modal insan belia serta pemberian geran kepada persatuan-persatuan belia, manakala RM27.21 juta adalah untuk pembangunan kemajuan sukan,” katanya.
Menurutnya, ini melambangkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan belia sebagai aset berharga dan peneraju kepemimpinan masa depan Sabah.
Berucap pada majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah tahun 2023-2024 di Magellan Sutera pada Jumaat, Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah juga akan melancarkan Tabung Kebajikan Penggiat-Penggiat Sukan Sabah pada tahun ini bagi menjaga kebajikan para pengiat sukan di samping melahirkan lebih ramai ahli sukan prestasi tinggi negeri ini.
Beliau berkata Tabung Kebajikan tersebut kini dalam rangka perancangan oleh Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
“Tabung Kebajikan ini juga akan menyediakan bantuan perubatan, memberi sokongan peralatan kepada bekas atlet negara dan negeri Sabah yang sakit, cedera atau memerlukan bantuan lanjut sebagai tambahan kepada bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
“Usaha ini merupakan satu lagi pengiktirafan Kerajaan Sabah terhadap jasa serta meringankan beban kewangan atlet-atlet sukan yang telah banyak berkorban demi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dipersada kebangsaan, antarabangsa dan dunia,” katanya.
Ketua Menteri berkata pembangunan sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai anak-anak muda Sabah menjadi atlet berjaya pada masa hadapan.
“Kerajaan sentiasa memberi dorongan tertinggi kepada atlet-atlet untuk berjaya dan atas usaha itu juga, saya sendiri telah menaikkan jumlah insentif kemenangan atlet semasa. Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak iaitu dari RM5,000 kepada RM10,000 untuk pingat emas, dan begitu juga insentif untuk pingat-pingat lain yang dimenangi bagi memangkin lagi semangat perjuangan atlet-atlet yang bertanding.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan atlet-atlet sukan negeri ini. Saya melihat banyak pencapaian dan peningkatan yang membanggakan bukan sahaja di Sukan Sabah, Sukan Malaysia, Para Sukan Malaysia dan Sukan Orang-Orang Pekak, tetapi juga pencapaian diperingkat antarabangsa dan dunia.
“Sesungguhnya, pengorbanan atlet-atlet ini dalam mengharumkan nama Sabah dan Malaysia, adalah amat besar,” katanya.
Hajiji turut menasihatkan atlet sukan muda negeri untuk sentiasa mementingkan pencapaian akademik.
“Kita sedar, sukan membina disiplin tinggi masyarakat khususnya anak-anak muda yang akan menjadi harapan kita di masa hadapan. Walaupun kerjaya sebagai atlet sukan turut menjanjikan pendapatan yang lumayan, saya berharap para atlet tidak mengabaikan kepentingan akademik mereka.
“Sebab itu, atlet-atlet yang berpotensi tinggi kita tempatkan di sekolah-sekolah sukan seluruh negara agar mereka dapat berlatih dengan baik dan selesa, dan dalam masa yang sama menerima pendidikan terbaik.
“Kerajaan mahu atlet Sabah bukan sahaja berjaya dalam sukan, tetapi juga mempunyai intelektual, pendidikan atau pengetahuan yang baik serta berkreativiti tinggi. Oleh itu, pembangunan sukan dan akademik atlet sukan perlu seimbang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para atlet supaya sentiasa menjauhi perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri mahupun pasukan secara langsung ataupun tidak langsung.
Mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah, Ketua Menteri berharap kejayaan ini akan menjadi titik permulaan kepada semua untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tusin.






