Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

RM6.9 Bilion untuk Sabah bukti komitmen Kerajaan MADANI pulihkan infrastruktur asas

Read Time:1 Minute, 41 Second

SANDAKAN : Peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2026 disifatkan sebagai antara yang terbaik dalam sejarah negeri ini.

Belanjawan itu turut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan menangani masalah infrastruktur asas yang sekian lama membelenggu rakyat.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, George Hiew Vun Zin, berkata pengumuman itu menjadi manifestasi komitmen sebenar Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan kemudahan jalan raya di Sabah.

“Sejak Pilihan Raya Umum ke-15, kita dapat lihat perubahan ketara. Isu-isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya mula diberi perhatian serius, dan peruntukan kepada Sabah terus meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Persekutuan menjadi faktor penting dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar  termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo dan pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem bekalan air.

Mengulas cabaran yang dihadapi sebelum ini, George Hiew menjelaskan bahawa tiga kali pertukaran kerajaan antara 2018 hingga 2022 menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala, selain mengganggu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Setiap kali kerajaan bertukar, proses pembangunan perlu bermula semula, kontraktor baharu, perancangan baharu, dan kadang-kadang dasar juga berubah. Ini menyebabkan ekonomi Sabah tersekat dan rakyat yang rugi,” katanya.

George Hiew turut optimis bahawa peruntukan RM6.9 bilion itu akan mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk naik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selain itu katanya adalah penambahbaikan sistem bekalan air di kawasan luar bandar; penambahbaikan infrastruktur jalan luar bandar dan pengangkutan awam dan peningkatan capaian tenaga elektrik di kawasan pedalaman.

Justeri beliau menyeru rakyat Sabah supaya menilai pencapaian nyata hasil kerjasama erat GRS dan Kerajaan MADANI, dan memberi peluang kepada gabungan ini untuk meneruskan kesinambungan pembangunan.

“Sebagai seseorang yang telah berada dalam dunia politik lebih 20 tahun, saya yakin inilah tempoh terbaik bagi Sabah dari segi kerjasama Persekutuan dan Negeri. Kita sudah mula melihat hasilnya, dan saya harap rakyat akan terus beri kepercayaan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE