KOTA KINABALU : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Sabah yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga jam 7 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan terjejas meliputi Pedalaman iaitu Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain Pantai Barat serta Kudat, termasuk Kota Marudu dan Kudat.
Amaran tersebut dikeluarkan susulan tanda-tanda menunjukkan kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
MetMalaysia memaklumkan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar, serta mengambil langkah keselamatan terutama di kawasan berisiko banjir kilat, pokok tumbang dan angin kencang. – SABAH MEDIA






