KOTA KINABALU: Ribuan umat Islam berhimpun di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas, pada Jumaat untuk menunaikan solat jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, sejurus selesai solat Jumaat.
Antara yang hadir memberi penghormatan ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan pemimpin negeri serta ahli keluarga Allahyarham.
Jenazah Allahyarham, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, disembahyangkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting, pada kira-kira jam 1.05 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di Hospital Gleneagle Kota Kinabalu pada jam 1.46 pagi, akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru, sebelum dibawa ke kediamannya di Idang Residence, Luyang untuk ziarah dan urusan memandikan jenazah.
Sepanjang hayatnya, Bung Moktar yang berusia 66 tahun, memulakan karier politik pada usia 20-an melalui Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebelum bersama UMNO pada 1991. Beliau dikenali dengan keberanian bersuara di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN). – SABAH MEDIA






