PENAMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai cuba terjun dari tingkat lima Megalong Mall di Donggongon di sini berjaya dipujuk dan diselamatkan oleh anggota bomba, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi.
Komander operasi, PBK I Callixtus Fedilis berkata, pasukan bomba tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian dan mendapati mangsa berada di tingkat lima bangunan berkenaan dalam cubaan untuk terjun.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan usaha memujuk mangsa sebelum berjaya membawanya ke tempat selamat,” katanya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).







