Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Rekod hasil hampir RM7 bilion, SMJ Energy kini aset RM5 bilion – Masidi bangga kejayaan Sabah

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah (caretaker), Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan kejayaan terbesar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang lima tahun mentadbir negeri ialah mengukuhkan kedudukan kewangan serta memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.

Beliau berkata pencapaian itu amat bermakna kerana Sabah kini berada pada tahap kewangan yang lebih kukuh hasil pengurusan berhemat dan strategi hasil yang berkesan.

“Salah satu cabaran utama bagi setiap kerajaan di Sabah ialah bagaimana untuk menaikkan kutipan hasil. Namun sepanjang GRS memerintah, kita berjaya mengutip hasil yang lebih besar secara konsisten,” katanya ketika temubual khas bersama Sabah Media di sini baru-baru ini.

Masidi berkata pada 2021, jumlah kutipan hasil negeri ialah RM5.4 bilion dan meningkat setiap tahun melebihi RM6 bilion, malah hampir RM7 bilion setahun satu rekod baharu dalam sejarah Sabah.

Beliau menambah hasil kukuh itu turut melonjakkan cash reserve atau simpanan tunai kerajaan negeri kepada paras tertinggi iaitu RM8.6 bilion.

“Sebelum ini tidak pernah ada kerajaan yang dapat menyimpan cash reserve melebihi RM6 bilion. Ini hasil pengurusan kewangan yang baik oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata kejayaan menubuhkan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd, menjadi satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh ekonomi Sabah.

“SMJ Energy ditubuhkan pada 2021 dengan modal RM50 juta hasil rundingan dengan Petronas bagi memberi ruang lebih luas kepada Sabah untuk terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas. Hari ini, syarikat itu sudah bernilai RM5 bilion dari segi aset,” katanya.

Tambahnya, selepas termeterainya Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Sabah dan Petronas, lebih banyak syarikat milik rakyat Sabah mendapat kontrak bernilai tinggi daripada syarikat nasional itu.

“Tiga tahun lalu jumlah kontrak Petronas kepada syarikat Sabah hanya sekitar RM650 juta setahun, tetapi tahun lalu meningkat kepada RM2 bilion setahun. Saya yakin jumlah ini akan terus meningkat,” ujarnya.

Justeru, katanya kejayaan itu bukan bersifat jangka pendek semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kadang-kadang orang salah faham, menyangka SMJ hanya slogan kerana melihat jalan raya belum sempurna. Sebenarnya SMJ ialah motto negeri yang mencerminkan visi dan harapan masa depan Sabah negeri yang maju dengan ekonomi kukuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik adalah kunci utama memastikan kesinambungan dasar pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Kita berpendapat sudah cukup rakyat membuat eksperimen menukar kerajaan. Kini masa untuk mewujudkan kestabilan politik kerana hanya dengan kestabilan, pembangunan negeri dapat digerakkan secara berterusan,” katanya.

Masidi menyeru rakyat Sabah supaya memberi peluang kepada kerajaan GRS meneruskan pelan pembangunan yang telah dirancang demi kemakmuran negeri.

“Hanya dengan kestabilan politik kita boleh memakmurkan Sabah. GRS menawarkan diri sebagai kerajaan yang mampu menstabilkan politik agar segala fokus tertumpu kepada pembangunan negeri,” katanya.

LEAVE A RESPONSE