Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Razali cadang PAUS dinaik taraf jadi rumah kedua anak Autisme

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah dicadang untuk menaik taraf Pusat Autisme Sabah (PAUS) sebagai rumah kedua untuk anak-anak autisme di negeri ini dan bukan sekadar sebagai pusat pendidikan awal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Mohamed Razali Razi berkata, cadangan itu bagi membolehkan golongan kanak-kanak serta individu dalam spektrum autisme dapat penjagaan berterusan dan menyeluruh.

Katanya, cadangan itu dikemukakan susulan kebimbangan berterusan ibu bapa anak-anak autisme, khususnya mengenai masa depan dan kebajikan anak mereka apabila ibu bapa sudah tiada.

” Justeru itu, saya ingin mencadang agar PAUS dinaiktaraf untuk menjadi bukan sekadar pusat latihan, tetapi sebagai rumah kedua untuk mereka (anak-anak autisme) agar mereka lebih selamat, terurus, ada penjagaan rapi berterusan, ada latihan kemahiran, rutin kehidupan dan aktiviti sosial supaya mereka boleh terus
hidup, belajar, bekerja dan berasa diterima.

“Pusat ini juga bukan sahaja untuk menjaga mereka tetapi menenangkan hati ibu bapa, kerana mereka tahu, jika mereka sudah tiada, anak mereka masih ada tempat berpaut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Razali berkata, pihaknya turut mencadangkan biasiswa khas dan dana latihan kemahiran melibatkan soft skills dan latihan vokasional, agar anak- anak autisme dapat berdikari mengikut keupayaan masing-masing.
Dalam Belanjawan Sabah, sebanyak RM670,000 diperuntukkan bagi menambah baik PAUS untuk menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

Sehubungan itu, penambahbaikan fungsi PAUS dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan golongan autisme, malah memberi ketenangan kepada ibu bapa kerana mengetahui anak-anak mereka masih mempunyai tempat berpaut dan sokongan berterusan pada masa hadapan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE