Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Rangkaian paip usang punca bekalan air tidak stabil di Sandakan

Read Time:1 Minute, 18 Second

SANDAKAN: Rangkaian paip yang sudah uzur dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan air berulang yang terus membelenggu penduduk di daerah ini.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Robert Chong Thien Ming, berkata isu tersebut perlu diberi perhatian serius dan diselesaikan segera melalui penggantian paip lama di seluruh kawasan terlibat.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan, LDP akan mendesak agar usaha menggantikan paip lama dijadikan keutamaan segera sejurus selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Desakan ini dibuat bagi menangani masalah kebocoran dan tekanan air rendah yang berpunca daripada sistem paip usang. Selagi isu ini tidak diselesaikan, gangguan air akan terus berulang,” katanya selepas melawat salah satu projek pembinaan tangki air baharu di sini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila Sandakan tidak tersenarai menerima peruntukan langsung daripada dana RM1 bilion Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf infrastruktur air Sabah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

“Lima tangki air baharu yang sedang dibina bagi menambah kapasiti simpanan air dilihat tidak akan menyelesaikan masalah sepenuhnya sekiranya paip lama yang rosak tidak diganti,” tegasnya.

Chong turut menegaskan bahawa tahap kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi dalam sistem sedia ada perlu ditangani segera bagi memastikan bekalan air yang lebih konsisten kepada pengguna.

Beliau berkata, Biro Infrastruktur dan Perkhidmatan LDP akan mempergiat pemantauan terhadap pelaksanaan projek-projek kritikal termasuk yang melibatkan kemudahan asas penduduk.

“Matlamat kami jelas setiap projek mesti memberi manfaat yang efektif kepada komuniti serta membantu meningkatkan taraf hidup penduduk,” ujarnya.

Tambahnya lagi, krisis air di Sandakan mesti diselesaikan segera kerana akses kepada bekalan air bersih dan stabil bukan satu kemewahan, tetapi hak asas rakyat.

LEAVE A RESPONSE