Read Time:4 Minute, 22 Second
Oleh Wan Azrain Adnan
Agenda pendidikan negara terus diperkasa bagi membina modal insan yang selari dengan agenda pembangunan negara serta keperluan global masa kini dan masa hadapan. Modal insan negara mestilah sentiasa seiring dengan perubahan semasa, memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan, serta keperibadian dan jati diri yang kukuh.
Pada 20 Januari 2026 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan dua rancangan pendidikan negara, iaitu Rancangan Pendidikan Malaysia (2026–2035) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035). Kedua-dua rancangan ini bakal mencorak agenda pendidikan dan pembangunan modal insan negara, merangkumi seluruh peringkat daripada prasekolah, sekolah sehingga pendidikan tinggi.
Antara dasar pendidikan baharu utama yang diumumkan dan bakal dilaksanakan ialah:
- Kemasukan sekolah rendah: Bermula sesi persekolahan 2027, pelajar yang sesuai boleh memasuki Tahun 1 pada usia enam tahun.
- Penilaian pelajar: Pengenalan Sistem Matriks Pembelajaran Malaysia bagi menilai pelajar sekolah rendah dan menengah.
- Bahasa Melayu dan Sejarah: Kedua-dua mata pelajaran ini diwajibkan untuk semua sistem pendidikan negara mengikut kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan sekolah aliran Cina.
Sejak pelancaran berkenaan, perbincangan hangat telah tercetus di seluruh negara, melibatkan pelbagai kelompok masyarakat. Ramai yang menyokong dan menyambut baik rancangan ini, namun tidak kurang juga yang mempertikai serta menimbulkan pelbagai persoalan.
Walau apa pun, perbincangan ini wajar diterima secara positif kerana ia membuktikan rakyat sangat prihatin terhadap kualiti sistem pendidikan negara. Semua pihak perlu memahami bahawa rancangan pendidikan yang dilancarkan bukanlah sesuatu yang muktamad atau cast in stone.
Rancangan ini merupakan sebuah living document yang boleh diteliti, diperhalusi dan dikemas kini dengan mengambil kira pandangan semasa semua pihak.
Salah satu perkara utama yang menimbulkan persoalan ialah pengenalan Sistem Matriks Pembelajaran Malaysia. Di bawah sistem ini, penilaian berpusat oleh Lembaga Peperiksaan bakal diadakan untuk:
- Pelajar Tahun 4 (bermula 2026), melibatkan empat mata pelajaran – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
- Pelajar Tingkatan 3 (bermula 2027), melibatkan lima mata pelajaran – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Secara tidak langsung, sistem matriks ini diperkenalkan bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pelajar Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang telah dimansuhkan beberapa tahun lalu, iaitu UPSR pada tahun 2021 dan PT3 pada tahun 2022.
Namun, pengenalan sistem matriks ini telah menimbulkan tanda tanya dan kejutan kerana ia kelihatan bertentangan dengan makluman awal yang dibuat kurang seminggu sebelum pelancaran rancangan pendidikan tersebut.
Pada 15 Januari 2026, Menteri Pendidikan Malaysia dilaporkan berkata bahawa kajian mengenai keperluan memperkenalkan semula UPSR dan PT3 dijangka siap dalam tahun ini, dengan lantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sedang diproses.
Situasi ini jelas menggambarkan bahawa pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berubah dalam tempoh yang sangat singkat, hanya lima hari. Persoalan timbul: apakah kajian tersebut akan diteruskan? Adakah KPM telah melaksanakan kajian yang mendalam sebelum memperkenalkan sistem matriks ini?
Akhirnya, persoalan-persoalan ini semakin menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan Menteri dan KPM dalam menerajui sistem pendidikan negara.
Hakikatnya, pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini telah mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat sehingga terbentuk dua kumpulan utama. Satu kumpulan menyokong pemansuhan peperiksaan tersebut dan berpendapat bahawa peperiksaan sebegini memberi tekanan tinggi kepada pelajar serta semakin kurang relevan dengan falsafah pendidikan masa kini.
Malah, pada November 2025, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dilaporkan berkata bahawa pemansuhan peperiksaan itu dibuat hasil kajian mendalam serta libat urus menyeluruh. Beliau berpandangan pencapaian pelajar perlu dinilai secara holistik, bukan semata-mata melalui peperiksaan, yang hanya melahirkan generasi “burung kakaktua” — cemerlang di atas kertas tetapi tidak berupaya mengaplikasikan ilmu.
Senada dengan itu, Datuk Azman Adnan, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, berpendapat bahawa sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang lebih komprehensif mampu menilai serta memberi gambaran sebenar potensi pelajar. Ketika ini, sistem PBS diguna pakai bagi menggantikan UPSR dan PT3.
Sebaliknya, satu kumpulan lagi mahukan peperiksaan tersebut diperkenalkan semula. Mereka meluahkan kebimbangan bahawa pelajar akan kehilangan motivasi dan disiplin tanpa UPSR dan PT3.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula berpendapat bahawa UPSR merupakan satu bentuk penilaian dan saringan penting bagi pemilihan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan institusi lain.
Di bawah Belanjawan Malaysia 2026, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan RM66.2 bilion, meningkat tiga peratus berbanding RM64.2 bilion pada 2025. Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menerima RM18.60 bilion, meningkat 2.8 peratus daripada RM18.09 bilion pada tahun sebelumnya.
Dengan dana yang begitu besar, rakyat semestinya mengharapkan kualiti dan prestasi sistem pendidikan negara dapat diperkasa melalui pelaksanaan kedua-dua rancangan ini. Selain isu penilaian pelajar, banyak lagi cabaran semasa yang perlu ditangani, antaranya:
- Pencapaian pelajar: Puluhan ribu calon SPM gagal Matematik setiap tahun, antaranya 17.6% (2017), 25.5% (2021) dan 22.4% (2024).
- Guru sekolah: Nisbah guru sangat tidak seimbang, dengan data KPM 2022 menunjukkan guru lelaki seramai 119,979 orang (28.7%) dan guru wanita 298,565 orang (71.3%).
- Jumlah pelajar: Enrolmen di Institusi Pendidikan Tinggi masih tidak seimbang, dengan data 2023 menunjukkan pelajar lelaki 43% dan wanita 57%.
- Pekerjaan graduan: Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran (underemployment) masih tinggi pada tahap 32.2% pada tahun 2024.
Malangnya, rancangan pendidikan ini bermula dengan langkah kiri apabila mengundang terlalu banyak persoalan dan kritikan. Justeru, Kerajaan Malaysia perlu menjawab isu-isu yang dibangkitkan secara pantas dan berkesan agar keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara dapat dipulihkan.






