Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Rampasan 27,000 kg ayam sejuk beku tanpa permit bernilai RM268,410

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) berjaya merampas sebanyak 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku tanpa permit import sah dengan nilai anggaran RM268,410 menerusi satu operasi penguatkuasaan hasil risikan yang dijalankan pada 30 Januari lalu.

Unit penguatkuasa telah memeriksa isi kandungan di dalam kotak dan mendapati paha ayam sejuk beku.

Operasi yang diketuai DVS Wilayah Kota Kinabalu itu melibatkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.

Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Susulan itu, tindakan sitaan diambil ke atas keseluruhan produk berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menzahirkan penghargaan kepada pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi tersebut serta menyifatkannya sebagai tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan dan kepentingan rakyat Sabah.

“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara, sekali gus membuktikan ketegasan dan komitmen Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, menjelaskan operasi berkenaan dilaksanakan secara terancang dan berperingkat dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan itu dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan, yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti.

LEAVE A RESPONSE