Read Time:1 Minute, 44 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Program Ramadan Jazz yang mengangkat pendekatan dakwah kontemporari melalui gabungan muzik, tazkirah dan aktiviti kebajikan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 pengunjung.
Program anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dijadual akan diadakan pada 14 Mac ini bertempat di Kompleks Sukan Likas.
Penganjuran program itu juga dilihat sebagai platform berkesan mendekati golongan belia serta masyarakat umum dalam suasana Ramadan yang lebih inklusif.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, penganjuran Ramadan Jazz sebelum ini diadakan di Sandakan membuktikan kaedah dakwah di ruang terbuka mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk bukan Islam dan pelancong.
Menurutnya, pendekatan santai melalui seni muzik dan pengisian kerohanian ringkas selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, kasih sayang dan kebersamaan dalam komuniti.
“Program ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menghayati Ramadan dalam suasana harmoni, bukan sahaja melalui ibadah, tetapi juga interaksi sosial yang sihat dan membina.
“Ia juga menjadi medium dakwah yang dekat dengan generasi muda, khususnya mereka yang mungkin kurang tertarik dengan pendekatan konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat penganjuran program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Sapawi berkata, antara pengisian utama Ramadan Jazz ialah agihan bubur lambuk kepada orang ramai, ceramah dan tazkirah ringkas, persembahan lagu-lagu dakwah serta aktiviti kebajikan termasuk penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.
Katanya, program yang berlangsung dari jam 4 petang hingga 9.30 malam itu digerakkan oleh Belia USIA di bawah pimpinan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Menurutnya, kejayaan penganjuran terdahulu yang turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan, menjadi dorongan untuk memperluaskan Ramadan Jazz ke peringkat negeri.
“Di Sabah, suasana Ramadan amat unik kerana penglibatan masyarakat bukan Islam dalam aktiviti berbuka puasa dan bazar Ramadan. Ramadan Jazz mencerminkan realiti ini dan memperkukuh semangat perpaduan yang sedia ada,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat terus dijadikan agenda tahunan sebagai wadah dakwah kreatif dan pemangkin keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini. – SABAH MEDIA






