Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Rakyat Sabah digalak tanam durian premium, sasar eksport ke China – Jamawi

Read Time:2 Minute, 15 Second

PENAMPANG: Rakyat Sabah digalakkan untuk menanam durian, khususnya durian premium, sebagai komoditi bernilai tinggi yang berpotensi menjana pendapatan mampan serta membantu mengeluarkan masyarakat luar bandar daripada garis kemiskinan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata penanaman durian premium seperti Musang King, Duri Hitam, IOI serta varieti tempatan unggul Sabah perlu dipertingkatkan secara agresif memandangkan permintaan pasaran antarabangsa, khususnya China, semakin meningkat.

Beliau berkata demikian ketika Program Lawatan Media ke Kebun Durian Timpangoh di sini, hari ini.

Menurut Jamawi, berdasarkan statistik semasa, Sabah masih berdepan kekurangan tanaman durian premium apabila hanya sekitar 5,000 pokok ditanam, manakala pokok yang telah matang dan mengeluarkan hasil setakat ini hanyalah kira-kira 800 ekar.

“Kita meletakkan sasaran dalam tempoh lima tahun akan datang, hasil durian premium yang ditanam di Sabah mampu mencapai potensi eksport ke China. Permintaan itu ada, tetapi bekalan kita masih tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata Sabah memiliki kelebihan tersendiri melalui varieti durian tempatan seperti Kinabalu King, Dalit dan Tenom Beauty yang mempunyai kualiti, rasa serta potensi pasaran eksport setanding durian premium dari Semenanjung.

Katanya, Kinabalu King yang semakin popular dalam kalangan pelancong dari China dan Korea merupakan antara varieti yang sedang diperkasakan penjenamaannya bagi menembusi pasaran antarabangsa.

“Selain Musang King dan Duri Hitam, Sabah juga mempunyai varieti unggul sendiri yang perlu kita bangunkan dan perkenalkan secara lebih meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Jamawi berkata bermula tahun hadapan, kementerian akan mempergiat serta memperkasakan Program Kebun Dapur dengan menggalakkan masyarakat luar bandar menanam sekurang-kurangnya empat hingga lima pokok durian premium di sekitar kediaman masing-masing.

Menurutnya, hasil durian yang diperoleh kelak akan dikumpulkan di pusat-pusat pengumpulan yang telah diwujudkan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian, masing-masing melibatkan 10 dan enam pusat di seluruh Sabah.

“Ini adalah gerakan bersepadu di bawah kementerian dengan penglibatan semua agensi, termasuk perikanan, jabatan haiwan dan lembaga industri, supaya pembangunan ekonomi rakyat dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata sementara menunggu tempoh matang tanaman durian yang mengambil masa lima hingga enam tahun, masyarakat digalakkan menjalankan aktiviti sampingan seperti ternakan ikan tilapia, ayam pedaging atau ayam telur bagi menjana pendapatan jangka pendek.

Mengulas mengenai kebun durian di Timpangoh, Jamawi berkata kawasan seluas kira-kira 200 ekar itu mula dibangunkan pada 2018 dan kini menempatkan tanaman durian premium berusia antara satu hingga enam tahun, diusahakan secara berkumpulan oleh lima pengusaha.

Katanya, kawasan berkenaan disasarkan untuk dibangunkan sebagai destinasi agro-pelancongan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, memandangkan lokasinya yang strategik, kira-kira 45 minit dari Kota Kinabalu.

“Terdapat permintaan tinggi daripada pelancong China dan Korea untuk menikmati durian terus di kebun. Di sini juga ada sungai yang kaya dengan ikan, jadi ia boleh ditawarkan sebagai pakej pelancongan lengkap,” katanya.

LEAVE A RESPONSE