KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyeru rakyat termasuk masyarakat Cina agar terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri sedia ada dalam usaha memajukan negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited memacu pembangunan demi kesejahteraan rakyat, sambil menghargai sumbangan besar masyarakat Cina terhadap pembangunan Sabah.
“Marilah kita terus memelihara dan memperkukuh perpaduan serta menjadikan Sabah contoh bagaimana kepelbagaian mampu menjadi kekuatan yang menyatukan kita semua,” katanya dalam ucapan sempena Pesta Tanglung 2025 di Dewan Putra, Bukit Padang, baru-baru ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Hajiji berkata Sabah merupakan contoh unggul keharmonian berbilang kaum di Malaysia, dengan lebih 30 kumpulan etnik hidup dalam suasana saling menghormati.
“Kepelbagaian ini adalah anugerah yang menjadikan Sabah istimewa. Keharmonian yang kita nikmati lahir daripada semangat kebersamaan, toleransi dan hormat yang diamalkan oleh rakyat,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kepelbagaian budaya dan perayaan seperti Pesta Tanglung, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Krismas telah menjadi pengikat perpaduan masyarakat Sabah.
Dalam ucapannya, Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk perpaduan dan menangani cabaran termasuk isu warisan seperti bekalan air dan elektrik, melalui inisiatif jangka pendek dan panjang.
Kerajaan turut menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, modal insan serta kesejahteraan rakyat bagi memastikan Sabah terus makmur.
“Saya berharap rakyat akan terus bersatu padu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.