Read Time:1 Minute, 56 Second
SANDAKAN: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan khabar angin dan spekulasi politik yang tular di media sosial menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Hiew menegaskan bahawa sejak diberi mandat pada 2018, pasukannya kekal berpegang pada prinsip untuk memperjuangkan kepentingan rakyat melalui tindakan nyata.
“Selama tujuh tahun kami bekerja dengan bukti, bukan slogan. Penduduk Karamunting sendiri melihat usaha kami, dan kami tidak pernah culas melaksanakan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, fokus utama kerjanya ialah menyelesaikan masalah asas seperti infrastruktur, kebajikan masyarakat serta tindakan segera terhadap aduan awam.
Menurut Hiew, pengundi kini lebih matang dan mampu menilai siapa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.
“Dalam politik, memang akan ada pelbagai ‘angin’ menjelang pilihan raya. Ramai akan datang menunjukkan diri, tetapi rakyat Karamunting bukan seperti dahulu mereka tahu siapa yang bekerja untuk rakyat dan siapa yang hanya berlakon semasa pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Perpaduan MADANI merupakan asas kepada kestabilan dan kemajuan Sabah.
Hiew memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjaya menstabilkan nilai ringgit dan menarik keyakinan pelabur.
“Nilai ringgit kini jauh lebih stabil berbanding tahun 2023. Hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan turut meningkatkan peruntukan pembangunan Sabah daripada RM4.4 bilion pada 2022 kepada RM6.9 bilion hari ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan negeri untuk mengambil alih kuasa penjanaan elektrik pada 2024 sebagai langkah penting ke arah autonomi tenaga Sabah.
“Pencapaian ini bukan berlaku sekelip mata, sebaliknya hasil kesungguhan dan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Dalam masa sama, Hiew menegur segelintir pemimpin pembangkang yang menurutnya hanya pandai menentang tanpa menawarkan cadangan membina.
“Saya lihat ada pemimpin pembangkang hanya tahu menghasut rakyat menolak kerajaan sedia ada, tetapi gagal mengemukakan pelan pembangunan yang jelas,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa landskap politik semasa memerlukan semangat kerjasama dan pembentukan gabungan yang kukuh, seperti yang ditunjukkan oleh GRS di Sabah dan GPS di Sarawak.
“Hanya dengan kesatuan seperti ini Sabah dapat melangkah lebih jauh,” katanya.
Mengenai kemungkinan beliau mempertahankan kerusi DUN Karamunting, Hiew berkata keputusan itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Politik sentiasa berubah. Saya akan akur dengan keputusan parti. Yang penting, kita kekalkan kestabilan kerajaan dan hubungan baik Sabah dengan Persekutuan,” katanya.






