Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 28 dan 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian yang berlaku di Telipok, di sini, pada 12 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian kira-kira jam 2.05 petang
itu melibatkan seorang wanita tempatan berusia 56 tahun yang kehilangan sebuah beg silang berisi dokumen pengenalan diri, kad bank, telefon bimbit, wang tunai serta kunci kenderaan, dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek merupakan sebuah kereta sewa yang dilengkapi sistem pengesanan global (GPS), sebelum maklumat berkenaan disalurkan kepada pasukan polis untuk tindakan segera.
“Pada hari yang sama kira-kira jam 4.20 petang, anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) berjaya mengesan kenderaan terbabit. Kejar-mengejar berlaku sebelum kenderaan suspek terbabas dan kedua-dua suspek berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan semula barang-barang milik mangsa, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.
Kasim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut kes-kes lain, selain permohonan reman akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Rakaman video tangkapan yang tular di media sosial adalah rakaman sebenar hasil tindakan pantas anggota polis semasa menjalankan tugas,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan harta benda serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu pencegahan dan penyelesaian kes jenayah.






