Read Time:1 Minute, 28 Second
KOTA KINABALU : Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkuat kuasa serta-merta.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, keputusan berkenaan telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta kepimpinan tertinggi parti.
Beliau berkata, langkah itu dibuat atas pertimbangan peribadi dan bukan berpunca daripada sebarang kemelut dalam UMNO Sabah.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk hala tuju politik dan peranan saya selepas ini,” katanya memetik laporan FMT di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau difahamkan masih kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, landskap politik semasa UMNO Sabah memerlukan suntikan kepimpinan baharu daripada golongan lebih muda bagi memastikan kelangsungan parti.
Mengulas mengenai hala tuju politiknya, beliau menegaskan masih kekal bersama UMNO setakat ini, namun mengakui menerima tawaran daripada parti lain.
Kedudukan Abdul Rahman dalam UMNO Sabah berdepan pasang surut sejak 2020 susulan perbezaan pendapat yang dilihat antara beliau dengan ketuanya ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pada 2024, mereka berbalas kenyataan susulan tindakan Abdul Rahman menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor ke perasmian mesyuarat UMNO Tuaran yang dirasmikan Zahid.
Ketika itu, UMNO dan GRS berseteru namun kedua-duanya kembali bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan Sabah pasca PRN pada November lepas.
Pada PRN itu, Abdul Rahman sepatutnya mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN Tempasuk tetapi menarik diri selepas namanya diumumkan Bung Moktar.
Beliau memberi alasan kerana ingin memberi laluan kepada muka baharu serta anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti di DUN itu.
Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Dis tahun lepas dan tempatnya digantikan Adun Sukau Jafry Ariffin manakala ahli MKT Mohd Hasnol Ayub menggantikan Abdul Rahman sebagai timbalan ketua Umno Sabah.






