SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Khamis telah meninjau perkembangan pembinaan Pusat Islam Sandakan yang kini telah mencapai kira-kira 75 peratus tahap siap.
Lawatan kerja tersebut turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Dalam taklimat yang disampaikan oleh Arkitek Projek, Mir Zafriz Mior Zawari, pembinaan pusat berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Projek tersebut dibangunkan dengan matlamat meningkatkan syiar Islam di Sabah serta menjadi mercu tanda baharu bagi bandar Sandakan.
Pusat Islam Sandakan turut menempatkan pelbagai kemudahan termasuk sebuah masjid dan dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat setempat.
Pada sebelah petang, Hajiji menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena sambutan Maulidur Rasul SAW di Masjid Daerah Sandakan.