Read Time:1 Minute, 15 Second
SANDAKAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura dijangka akan menyaksikan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum Ke-17 Sabah (PRU17).
Selepas pembubaran rasmi DUN di negeri ini, beberapa nama calon daripada pelbagai parti dan gabungan politik mula menjadi sebutan dan semakin aktif di peringkat akar umbi.
Antara nama yang disebut termasuk Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mewakili blok Pakatan Harapan (PH).
Jika cakap-cakap itu benar, Vivian bakal berdepan beberapa calon termasuk penyandang kerusi itu, Calvin Chong Ket Kiun daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) atau Alex Thien juga daripada Warisan.
Thien pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pernah bertanding di Parlimen Sandakan, namun dikalahkan oleh Vivian.
Selain Vivian daripada DAP, nama yang menjadi sebutan juga adalah Liew Chan Hang @ Amsi yang juga Ketua Biro Aduan Awam DAP Sabah.
Parti Impian Sabah (PIS) pula dijangka akan menampilkan Ketua Bahagian PIS Elopura, Jeffrey Chung sebagai calon mereka.
Seorang lagi yang menjadi sebutan ialah bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui yang sebelum ini mengumumkan keluar DAP bersama penyandang kerusi DUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon.
Pada pilihan raya lalu, kerusi Elopura menyaksikan pertarungan enam penjuru yang akhirnya dimenangi oleh Calvin Chong dengan majoriti 7,683 undi.
Beliau menewaskan calon daripada MCA, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN pada 15 November ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.






