PRU Sabah : Razali Razi tekad perkukuh pentadbiran akar umbi, cadang wujud Majlis Pengurusan Kampung
Read Time:1 Minute, 34 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Calon muka baharu mewakili Gabungan Rakyat Sabah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi mahu memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi dengan menubuhkan Majlis Pengurusan Kampung.
Razali berkata, penubuhan majlis itu merupakan antara manifesto atau visi yang akan menjadi keutamaan beliau apabila dipilih pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah ke-17).
Beliau berkata, majlis itu akan turut melibatkan kepimpinan setempat, golongan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Yang pertama kita kena perbaiki sistem pengurusan pentadbiran di kampung-kampung dan di taman-taman. Apa yang kita akan cadangkan, wawasan kita adalah membentuk satu Majlis Pengurusan Kampung.
“Dalam majlis tersebut apa yang kita buat, kita akan libatkan kepimpinan kampung dan dalam majlis tersebut kita akan libatkan juga belia-belia sebagai pemimpin dan juga pengurusan kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas majlis pengumuman calon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Terdahulu, beliau diumumkan sebagai calon GRS yang diumumkan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.
Razali berkata, antara masalah utama yang dikenal pasti selama ini ialah kelemahan komunikasi antara masyarakat, pemimpin dan agensi kerajaan di peringkat akar umbi.
“Dari pengalaman lepas, masalah kita di kampung dan taman adalah kekurangan komunikasi. Jadi, dengan adanya majlis ini, kita boleh adakan ‘engagement’ antara kepimpinan kampung, belia dan NGO aktif supaya wujud ketelusan dalam pengurusan,” jelasnya.
Selain memperkukuh struktur pentadbiran, Razali turut memberi penekanan terhadap pembangunan belia, khususnya melalui program keusahawanan di setiap kawasan.
“Kita akan banyakkan program keusahawanan untuk anak muda. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita akan wujudkan satu pusat belia di setiap kampung,” katanya lagi.
Beliau menambah, peranan belia sebagai pemimpin masa depan amat penting dan GRS mahu memastikan generasi muda diberikan ruang dan peluang untuk terlibat dalam proses pembangunan komuniti. – SABAH MEDIA






