PRU Sabah : Razali beri bayangan tanding di DUN Darau, isyarat ‘Thumbs Up’ tarik perhatian media
Read Time:1 Minute, 20 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Razali Razi memberi bayangan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17).
Beliau yang juga Ketua Bahagian Darau hanya memberikan isyarat ‘thumbs up’ ketika ditanya media sama ada beliau akan bertanding bagi kerusi berkenaan.
“Jawapan dia begini (memberikan isyarat ‘thumbs up’).. kita sudah bekerja lebih daripada tiga tahun.
“InsyaAllah jentera semua sudah siap, kita lebih bersedia daripada sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima permohonan seramai 250 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Darau yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.
Penghijrahan beramai-ramai ahli STAR menjelang PRU DU Sabah Ke-17 itu diketuai bekas Ketua Wiranita STAR Bahagian Darau, Datin Nollyzai Awang Sham.
Ditanya mengenai tawaran kepada pengundi Darau, Razali berkata manifesto hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.
“Apa yang saya tawarkan? Anda akan lihat manifesto saya nanti… bukan sekarang. Kalau keluar awal, nanti ada yang ‘pinjam’ idea,” katanya.
Beliau dalam masa sama menepis spekulasi dan khabar angin berhubung pihak lain yang turut mengintai kerusi berkenaan.
“Khabar angin? Saya tidak tahu. Kita fokus pada perkara betul. Kita fokus di lapangan. Khabar angin kita ketepikan,” jelasnya.
Kerusi DUN Darau sebelum ini menjadi antara kawasan tumpuan politik Sabah susulan kedudukannya dalam kawasan bandar serta perkembangan sokongan blok politik di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pada pilihan raya ke-16, kerusi DUN Darau dimenangi Parti Warisan yang diwakili Azhar Matussin dengan undi sebanyak 5,805. – SABAH MEDIA






