Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD : Gelombang kepimpinan muda dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi di negeri menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17).
Ini kerana generasi baharu pemimpin dilihat sebagai simbol perubahan dan kemajuan masa depan negeri itu.
Bagi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, pendekatan yang dibawa oleh pemimpin muda seperti seperti penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Fairuz Renddan menjadi bukti bahawa tenaga baharu mampu membawa pembaharuan ketara kepada rakyat.
Menurut Hadi Imadi Saidur, 35, dari Kampung Rudang, pemimpin muda memiliki kelebihan dalam memahami aspirasi golongan belia, selain lebih tangkas dan terbuka dalam menyelesaikan isu rakyat.
“Kepimpinan muda seperti Datuk Fairuz bukan sahaja berani membawa idea baharu, malah cepat bertindak dan lebih dekat dengan masyarakat.
“Kami lihat dalam satu penggal saja, banyak perubahan berlaku di Pintasan,” katanya ketika ditemui Sabah Media.
Antara kejayaan yang diakui termasuk pelaksanaan geran pantas, peningkatan program pembangunan belia serta penyertaan aktif Fairuz dalam kegiatan komuniti di peringkat kampung.
Sementara itu, usahawan kecil tempatan, Julailah Pankan, 36, berkata kehadiran pemimpin muda dalam politik membawa suasana lebih progresif, dengan pendekatan yang lebih mesra rakyat dan berorientasikan hasil.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memang berjaya membawa pembangunan, tapi gaya kepimpinan muda lebih segar.
“Mereka guna media sosial untuk berhubung terus dengan rakyat dan tidak tunggu isu besar baru mahu turun padang,” ujarnya.
Julailah berkata, banyak inisiatif di bawah pimpinan muda berjaya membantu rakyat miskin, termasuk program Rumah Mesra SMJ, bantuan keusahawanan kecil, dan naik taraf infrastruktur di kampung pedalaman.
Bagi Acila Embo, 25, graduan universiti dari Kampung Timbang, generasi muda kini lebih cenderung menyokong calon yang mempunyai visi jelas serta gaya komunikasi moden.
“Anak muda nak pemimpin yang faham dunia digital, tahu guna media sosial dengan bijak, dan tak takut berinteraksi dengan rakyat. Itu gaya politik baru yang kami mahu lihat di Sabah,” katanya.
Beliau menambah bahawa kepimpinan muda juga mampu menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dengan pendekatan yang lebih dinamik serta berpaksikan teknologi dan inovasi.
“Sudah tiba masa Sabah memberi ruang lebih besar kepada barisan muda untuk menerajui negeri. Kita perlukan tenaga baharu bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri,” katanya. – SABAH MEDIA






