Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Pembangunan infrastruktur asas di Usukan jadi keutamaan – Japlin

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim, menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas akan menjadi agenda utamanya sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.

Japlin berkata, meskipun Usukan terletak berhampiran Pekan Kota Belud, kawasan itu masih ketinggalan dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Walaupun dekat dengan pekan, Usukan masih jauh tertinggal khususnya dari segi infrastruktur dan kemudahan asas lain seperti air dan elektrik.

“Inilah antara isu utama yang dibawa kepada saya. Jika diberikan mandat, sudah tentu saya akan berusaha menangani semua permasalahan yang terlepas pandang oleh penyandang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, masih banyak jalan kampung di kawasan itu perlu dinaik taraf segera.

Mengulas pendekatan kempen, Japlin berkata beliau lebih selesa turun padang untuk bertemu terus dengan para pengundi bagi mendengar sendiri keluhan dan harapan mereka.

Namun, selari dengan perubahan masa, kempen kali ini turut memberi penekanan kepada penggunaan media sosial bagi mendekati golongan belia.

“Saya percaya kempen bersemuka adalah cara paling berkesan kerana rakyat boleh mengajukan soalan secara langsung.

“Tapi kita juga perlu manfaatkan media sosial. Hari ini lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada mereka berumur 40 tahun ke bawah.

“Golongan inilah yang bakal memimpin masa depan negara,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon.

Sementara itu, kerusi DUN Usukan menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan lima calon parti politik dan seorang calon bebas.

Japlin tiba untuk mengemukakan dokumen pencalonannya di Dewan Masyarakat Said Keruak pada jam 9.05 pagi, empat minit selepas calon Parti Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Turut bertanding ialah penyandang kerusi, Datuk Seri Mohamed Salleh Mohamed Said (Barisan Nasional), Jefris Muadis (Parti Impian Sabah), Lin Harun (Parti Solidariti Tanah Airku), dan calon bebas Ajun Meliyon. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE