Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA BELUD : Golongan pengundi muda kini semakin aktif dalam politik selain menekankan bahawa pemimpin masa kini perlu peka terhadap isu semasa, mudah didekati, dan bukan sekadar “bercakap kosong”.
Bagi pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Datu Mohammad Quefathir Datu Mazinal, 18, beliau berkata, media sosial memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat dengan pemimpin.
“Kita hidup di era digital di mana maklumat mudah diperoleh. Pemimpin sepatutnya menggunakan saluran ini untuk mendengar kehendak rakyat, bukannya saling menuding jari. Golongan muda mampu menilai sendiri setiap isu,” katanya.
Beliau menambah bahawa calon seperti penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk Datuk Arshad Bistari yang rapat dengan belia di kawasan berkenaan menjadi contoh ideal pemimpin dekat dengan masyarakat.
Nurul Farahain Riamat, 19, pula menekankan kestabilan politik sebagai kunci untuk memastikan program bantuan rakyat diteruskan.
“Kerajaan negeri baru sahaja mula stabil, dan banyak inisiatif rakyat telah dilaksanakan. Tidak mudah untuk menunaikan semua tuntutan dalam satu penggal, jadi mereka wajar diberi peluang untuk meneruskan usaha ini,” katanya.
Beliau mengakui mengidolakan penyandang kerusi DUN Pintasan Datuk Fairuz Renddan kerana berjaya membawa suara belia Pintasan ke peringkat lebih tinggi.
Mohammad Irfan Abd Rakman, 19, menegaskan bahawa integriti dan manifesto yang realistik menjadi keutamaan.
“Kami mahu pemimpin yang ‘walk the talk’. Tidak banyak yang dituntut – cukup menunaikan keperluan rakyat, membaiki infrastruktur, dan menghindari sebarang penyelewengan,” ujarnya.
Pandangan golongan muda ini menandakan perubahan sikap politik di Sabah, di mana pemimpin yang relevan dengan zaman digital dan responsif terhadap rakyat semakin menjadi pilihan pengundi baharu. – SABAH MEDIA






