Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Projek strategik Kimanis gagal, rakyat Bongawan masih menanti janji calon BN – Jamaludin


Read Time:2 Minute, 2 Second

BONGAWAN: Tindakan UMNO Kimanis yang cuba menyalahkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Anifah Aman berhubung kegagalan projek strategik di Kimanis disifatkan sebagai usaha terdesak bagi menutup kegagalan sebenar Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menunaikan janji pilihan raya.

Ketua Pemuda GRS, AK Jamaludin Pg Yassin berkata, dua projek utama iaitu Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis telah pun diluluskan ketika Anifah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini, namun gagal diteruskan selepas Mohamad diberi mandat rakyat.

“Mohamad sendiri berjanji dalam manifesto Barisan Nasional semasa PRK Kimanis untuk merealisasikan dua projek ini. Rakyat memberi mandat, tetapi hasilnya masih sifar hingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kegagalan meneruskan projek tersebut amat mengecewakan lebih-lebih lagi selepas Mohamad dilantik sebagai Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan, yang sepatutnya memberi kelebihan untuk memperjuangkan semula kelulusan projek berkenaan.

“Kalau Kolej Komuniti Kimanis dibatalkan ketika kerajaan Pakatan Harapan, mengapa tidak dihidupkan semula selepas 2020 apabila beliau sudah berada dalam kerajaan? Rakyat menunggu hampir lapan tahun, tetapi tiada hasil konkrit,” katanya.

AK Jamaludin menegaskan, isu ini bukan soal menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya membuktikan ketiadaan kesinambungan kepimpinan, sekali gus menjejaskan pembangunan kawasan Kimanis, khususnya di Bongawan.

Beliau mengakui terdapat beberapa projek kecil yang dilaksanakan, namun katanya limpahan pembangunan itu tidak menyeluruh dan tidak mampu mengubah landskap pembangunan Bongawan secara signifikan.

“Bahkan, pembangunan yang melibatkan DUN Membakut sebenarnya lebih banyak digerakkan oleh penyandang kawasan itu yang juga calon GRS, Datuk Dr Mohd Arifin Arif,” katanya.

Mengulas keadaan Bongawan yang masih ketinggalan, beliau berkata kawasan itu masih jauh tertinggal dari segi pembangunan sektor minyak dan gas (O&G), infrastruktur serta logistik berbanding kawasan lain.

“Projek kecil memang ada, tetapi projek strategik yang mampu mengangkat ekonomi dan peluang pekerjaan penduduk masih gagal direalisasikan,” katanya.

Mengulas isu kedai lama yang terbakar di Pekan Bongawan, AK Jamaludin menegaskan beliau hanya meminta agar sisa kebakaran dibersihkan, bukan merampas hak milik persendirian.

“Ini isu asas kebersihan dan imej bandar. Kalau sisa kebakaran pun tidak mampu diselesaikan, bagaimana mahu memimpin perkara yang lebih besar?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan Mohamad dalam PRK Kimanis 2019 lalu turut dibantu oleh sokongan Anifah Aman yang turun berkempen.

“Penyokong akar umbi masih ingat jasa itu. Politik hari ini memerlukan kejujuran, rekod kerja yang jelas, bukan retorik semata-mata,” katanya.

Menurut beliau, akhirnya rakyat di Bongawan sendiri akan menilai siapa yang benar-benar membawa pembaharuan dan pembangunan besar, bukan sekadar projek naik taraf kecil yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

LEAVE A RESPONSE