Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Projek naik taraf tandas KKIA di fasa akhir, dijadual siap menjelang Mei

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Projek naik taraf tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bernilai RM11.8 juta melibatkan 26 set tandas yang dilaksana secara berperingkat dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei tahun ini.

Pengurus Kanan KKIA Jefry Ramli berkata, projek tersebut kini dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan keselesaan pengguna lapangan terbang terus terpelihara tanpa menjejaskan operasi harian.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 17 set tandas telah siap sepenuhnya, manakala selebihnya sedang dalam proses penambahbaikan,

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi projek membaik pulih tandas di KKIA adalah sebanyak RM11.8 juta.

“Ini merupakan komitmen kami untuk memastikan kemudahan yang terbaik disediakan kepada semua pengguna lapangan terbang.

“Apabila projek ini siap sepenuhnya nanti, hampir keseluruhan tandas di KKIA akan mempunyai wajah baharu seperti yang kita dapat lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat beberapa kemudahan awam termasuk tandas di KKIA bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Robert Lipon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pesekitaran Bandaraya Syron A. Tunggolou.

Jefry berkata, setiap set tandas merangkumi kemudahan lelaki, wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU), menjadikan keseluruhannya sebanyak 26 set tandas di seluruh kawasan lapangan terbang.

Katanya, pelaksanaan projek secara berfasa itu disebabkan keperluan bagi menampung ketibaan penumpang purata 23,000 hingga 24,000 penumpang sehari, dan boleh mencecah sehingga 30,000 penumpang sehari pada musim puncak.

“Buat masa ini, bilangan tandas sebenarnya mencukupi. Namun, ia kelihatan tidak mencukupi kerana sebahagiannya sedang ditutup untuk kerja naik taraf. Pada satu-satu masa, hanya sekitar lima atau enam tandas sahaja yang ditutup.

“Keadaan ini menyebabkan tempoh projek menjadi lebih panjang, tetapi ia perlu bagi memastikan keselesaan penumpang terus terjaga,” katanya.

Mengulas isu aduan seperti air bertakung di lantai tandas, Jefry berkata perkara itu kebiasaannya hanya dapat dikenal pasti selepas tandas digunakan oleh orang awam, meskipun ujian awal telah dilakukan sebelum dibuka.

“Dalam mana-mana projek, kita ada tempoh Defect Liability Period (DLP) selama setahun. Dalam tempoh ini, kontraktor bertanggungjawab membaiki sebarang kecacatan yang dikenal pasti selepas tandas digunakan.

“Kadang-kadang orang awam nampak masalah itu sebaik sahaja tandas dibuka, sedangkan sebenarnya tandas itu masih dalam tempoh DLP dan kami terus arahkan kontraktor untuk membuat pembaikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui terdapat cabaran dari segi penggunaan kemudahan baharu oleh sebahagian pengguna.

“Kami tetap berusaha memastikan servis yang terbaik diberikan kepada semua pengguna lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, Jefry menegaskan aspek kebersihan tandas sentiasa diberi keutamaan dengan penyediaan perkhidmatan pembersihan 24 jam melibatkan tiga syif sehari.

“Setiap syif melibatkan lebih 60 petugas kebersihan yang ditempatkan di seluruh kawasan lapangan terbang termasuk tandas. Dari segi tenaga kerja, memang mencukupi dan telah diagihkan mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE