Projek naik taraf Jalan Inanam–Sepanggar (Pakej WP7) Pan Borneo Sabah Fasa 1A capai 89 peratus kemajuan
Read Time:2 Minute, 20 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Projek menaiktaraf Jalan Inanam–Sepanggar, sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, mencatat kemajuan fizikal sebanyak 89 peratus setakat akhir Oktober 2025 dan dijangka siap dalam tempoh setahun.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, Pakej Kerja 7 itu kini dalam proses pembukaan jajaran utama sepanjang 9.9 kilometer (km) melalui Sijil Penghunian Sementara atau Certificate of Partial Occupation (CPO 1), meliputi laluan berterusan dari Persimpangan Kionsom hingga Sepanggar.
“Pembukaan jajaran ini dijangka memberi manfaat segera kepada pengguna jalan raya di koridor utara Kota Kinabalu, khususnya penduduk Inanam, Manggatal dan Sepanggar.
“Diharapkan dengan pembukaan jajaran tersebut, aliran trafik akan menjadi lebih lancar sementara kerja-kerja akhir diteruskan secara berperingkat. Pada masa yang sama, aspek keselamatan di tapak sentiasa diberi perhatian,” katanya dalam sidang media ketika meninjau kawasan pembinaan jajaran Pakej 7 di Manggatal di sini, hari ini.
Beliau berkata, baki kerja melibatkan penyempurnaan Persimpangan Sepanggar, Persimpangan Manggatal dan Persimpangan Tuaran, yang merupakan skop tambahan bagi pakej berkenaan. Secara keseluruhan, kemajuan projek berada dalam keadaan terkawal dan mengikut jadual hasil penyelarasan rapat antara Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pihak pelaksana.
Pakej Kerja 7 merupakan segmen penting dalam rangkaian Kota Kinabalu Outer Ring Road (KKORR) atau Lebuhraya Lingkaran Luar Kota Kinabalu, bersama dua segmen lain, iaitu Pakej 6: Menaiktaraf Jalan Putatan–Inanam (20 km) dan Pakej 8: Menaiktaraf Jalan Sepanggar–Bulatan Berungis (11.7 km).
“Apabila ketiga-tiga pakej di bawah Fasa 1A ini siap sepenuhnya, ia akan membentuk satu rangkaian jalan utama yang mengelilingi kawasan Greater Kota Kinabalu. Dari sudut kejuruteraan, KKORR akan membantu mengurangkan kesesakan trafik, memendekkan masa perjalanan antara kawasan perumahan, perindustrian dan pelabuhan serta meningkatkan kecekapan logistik yang menghubungkan Pelabuhan Sepanggar, Taman Perindustrian KKIP dan koridor ekonomi utara.
“Infrastruktur tersebut turut memperkukuh daya tahan jaringan jalan raya bandar dengan menyediakan laluan alternatif kepada Jalan Tuaran Lama dan Jalan Sulaman sedia ada,” katanya.
KKR turut merakamkan penghargaan kepada JKR Malaysia, JKR Sabah, pasukan perunding serta semua pihak pelaksana atas komitmen memastikan kualiti pembinaan, keselamatan dan kemajuan sentiasa berada pada tahap tertinggi. Kerajaan kekal komited melaksanakan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan penuh ketelusan, akauntabiliti dan manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, dalam sesi taklimat bersama agensi berkaitan semasa tinjauan tersebut, beliau menegaskan supaya semua pihak melaksanakan tugas masing-masing dengan baik agar projek ini dapat disiapkan secepat mungkin, sekali gus memastikan rakyat menikmati manfaat pembangunan dengan segera.
“Sementara projek ini disiapkan, pertama, saya harap pengurusan trafik diurus dengan teliti supaya tidak berlaku kesesakan di lokasi-lokasi tertentu ketika kerja pembinaan dijalankan.
“Kedua, jalan-jalan berkaitan Pan Borneo yang digunakan sebagai laluan awam hendaklah diselenggara dengan baik. Saya tidak mahu jalan-jalan ini tidak diselenggara sehingga menyusahkan rakyat. Road barriers dan bonggol sementara hendaklah disusun dengan baik, jangan terabur sana-sini,” katanya.






