Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Program kepimpinan wanita perkukuh keyakinan, komunikasi profesional

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Satu program pembangunan kepimpinan berstruktur selama tiga hari bakal membantu wanita profesional di Sabah meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta kecerdasan emosi di tempat kerja.

Program Women at Work (W@W) Leadership Masterclass 2.0 anjuran Primal X Sdn Bhd akan berlangsung di Zara’s Boutique Hotel, Harbour City dari 31 Mac hingga 2 April 2026, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Pengasas Primal X, Marianne Kiob berkata, ramai wanita berkemahiran tinggi masih berdepan kekangan keyakinan, termasuk ragu untuk bersuara dalam mesyuarat dan memimpin walaupun mempunyai keupayaan.

Menurutnya, keyakinan di tempat kerja bukan sekadar sifat semula jadi, sebaliknya kemahiran yang boleh dibentuk melalui latihan, bimbingan dan persekitaran yang sesuai.

“Ramai wanita meragui diri bukan kerana kurang kebolehan, tetapi kerana belum benar-benar memahami kekuatan sendiri. Melalui pendekatan yang tepat, mereka mampu tampil lebih yakin dan bersedia memimpin,” katanya.

Program itu merangkumi enam modul utama termasuk pembangunan kepimpinan dan kecerdasan emosi (EQ), penilaian personaliti Leonard Personality Inventory (LPI), pengurusan tekanan dalaman dan luaran, kemahiran komunikasi bukan lisan, imej profesional serta sesi fotografi korporat.

Selain itu, lokasi penganjuran turut mencerminkan sokongan terhadap pemerkasaan wanita, apabila hotel berkenaan diasaskan oleh Datuk Eliza Goh yang sinonim dengan pembangunan peluang ekonomi wanita di negeri ini.

Program tersebut disasarkan kepada 20 wanita profesional dan turut diiktiraf sebagai 100 peratus boleh dituntut di bawah HRDC, sekali gus memberi peluang kepada organisasi melabur dalam pembangunan bakat wanita.

Inisiatif itu dijangka bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah membantu memperkukuh keupayaan organisasi melalui peningkatan keyakinan, komunikasi serta kepimpinan dalam kalangan tenaga kerja wanita.

LEAVE A RESPONSE