Read Time:1 Minute, 37 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
LAHAD DATU: Jentera Pilihan Raya Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Silam kini berada pada tahap kesiapsiagaan hampir penuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tumpuan utama digerakkan untuk mendekati dan menambat hati pengundi atas pagar.
Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Silam, Datuk Mizmah Appehdullah berkata, persiapan jentera parti kini telah mencapai kira-kira 80 peratus dengan 680 orang jentera sudah bersiap sedia di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Setakat ini semua PDM sudah lengkap. Kami hanya tinggal memperkukuh gerak kerja mendekati pengundi atas pagar. Program menyantuni kampung dan lawatan rumah ke rumah akan bermula selepas 19 November,” katanya kepada Sabah Media hari ini.
Beliau berkata, daripada keseluruhan ahli berdaftar seramai 8,000 orang, Gagasan Rakyat Silam menyasarkan sokongan melebihi 15,000 pengundi, termasuk 5,000 pengundi atas pagar yang akan menjadi tumpuan sepanjang tempoh menuju penamaan calon.
Menurutnya, trend pengundi di kawasan Lahad Datu dan Silam menunjukkan kecenderungan mereka lebih tertumpu kepada calon berbanding parti, dengan keutamaan diberikan kepada pemimpin yang aktif turun padang.
“Penduduk di Lahad Datu ini agak matang dari segi politik. Mereka menilai calon yang benar-benar mewakili daerah dan membawa pembangunan. Jadi pemilihan calon amat penting bagi kami,” katanya.
Dalam pada itu, Mizmah turut menegaskan bahawa pelbagai inisiatif kerajaan GRS seperti Program Rumah SMJ dan bantuan tunai bulanan Syukur RM300 telah memberi kesan positif terhadap sokongan rakyat di Silam.
“Rumah SMJ mendapat sambutan sangat baik, dan ramai penerima bantuan Syukur di Silam berharap program ini diteruskan. Berdasarkan data kami, seramai 1,500 penduduk Silam menikmati bantuan tersebut setiap bulan,” jelasnya.
Beliau menambah, usaha kerajaan GRS memperbaiki infrastruktur kampung seperti jalan dan kemudahan asas turut menjadi faktor pengukuhan sokongan akar umbi terhadap parti.
“Rakyat melihat hasil nyata daripada pentadbiran GRS, dan mereka mahu kesinambungan ini diteruskan,” katanya.
Dengan tempoh kempen semakin hampir, Mizmah menegaskan bahawa Gagasan Rakyat Silam kini bersedia sepenuhnya untuk memastikan kemenangan calon-calon GRS di kawasan Lahad Datu dan sekitarnya.