Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 Sabah: Bakal calon dan penyokong diingat jaga tingkah laku – PDRM

Read Time:1 Minute, 31 Second

RANAU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menasihatkan bakal calon dan penyokong parti politik supaya menjaga tingkah laku bagi mengelak sebarang kekacauan awam sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata, proses penamaan calon yang dijadualkan pada 15 November ini berpotensi mencetuskan kekecohan, terutamanya jika berlaku insiden penolakan pencalonan.

“Sebagaimana yang kita maklum, proses penamaan calon akan dijalankan pada 15 November ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan proses itu berjalan lancar,” katanya.

Jauteh berkata demikian semasa Town Hall Discussion Peringkat Kontinjen Negeri Sabah 2025 yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi menghadapi proses penamaan calon itu, PDRM telah mengadakan mesyuarat pada 22 Oktober lalu melibatkan semua ketua jabatan dan Ketua Polis Daerah bagi merancang persiapan di setiap pusat penamaan calon di seluruh Sabah.

Menurutnya, penugasan anggota akan dilaksanakan dalam dua bentuk utama pertama, semasa perarakan penyokong calon menuju ke pusat penamaan calon, dan kedua, semasa proses pendaftaran pencalonan berlangsung.

“Apabila para penyokong tiba di lokasi penamaan calon, mereka akan ditempatkan di kawasan yang telah ditetapkan oleh PDRM.

“Kami juga akan memantau sepenuhnya proses pendaftaran bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku, khususnya jika ada calon yang ditolak pencalonannya,” jelasnya.

Jauteh turut menasihatkan semua parti dan bakal calon agar memberikan peringatan kepada penyokong masing-masing supaya mematuhi peraturan serta arahan pihak polis.

“Ini penting bagi memastikan perjalanan proses penamaan calon, terutama semasa perarakan, berjalan dengan lancar dan tidak menimbulkan kesulitan kepada orang awam,” tegasnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata seramai 1,784,843 pengundi layak akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya kali ini.

LEAVE A RESPONSE