Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Rubin Balang dijangka pertahan kerusi DUN Kemabong

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Silar Pinikit

TENOM  : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang, dijangka akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selepas beberapa pemimpin akar umbi tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap beliau.

Rubin, yang kini merupakan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, dijangka bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya diberi lampu hijau oleh kepimpinan parti.

Ketua Daerah Kemabong, Biou Suyan, berkata pihaknya yakin Rubin masih menjadi pilihan utama rakyat Kemabong berdasarkan prestasi dan pengaruh yang masih utuh di kawasan tersebut.

“Pada PRN lalu, beliau menang atas tiket bebas. Tetapi kali ini, beliau berpeluang mewakili GRS secara rasmi. Sambutan daripada rakyat terhadap beliau dan parti sangat positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Biou turut memaklumkan bahawa jentera pilihan raya di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah digerakkan lebih awal, sekali gus menunjukkan persediaan kemas menjelang pembubaran DUN.

Selain itu, sokongan turut datang daripada tokoh veteran politik Kemabong, Sukimin Rukini, yang menyifatkan Rubin sebagai pemimpin yang masih relevan dan berpengaruh dalam kalangan rakyat.

“Kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi cukup meyakinkan. Kami percaya, sekiranya beliau dicalonkan, kerusi Kemabong dapat dipertahankan dengan lebih bergaya,” ujar Sukimin.

Datuk Rubin ketika dihubungi menyatakan kesediaannya untuk bertanding semula, namun menghormati proses dan keputusan pucuk pimpinan parti.

“Saya bersedia jika diberi peluang. Kita sudah bentuk jentera lebih awal untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya ringkas.

Pada PRN Sabah ke-16, Rubin meraih 4,214 undi, menewaskan lima pencabar lain dengan majoriti 1,012 undi. Ketika itu, beliau bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang buah manggis.

Kini, dengan penyertaan rasmi dalam Gagasan Rakyat yang merupakan parti komponen GRS, peluang beliau untuk mempertahankan DUN Kemabong dilihat lebih cerah. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE