Read Time:1 Minute, 56 Second
KOTA KINABALU : Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk bertanding atas logo sendiri menjadi isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak terlalu meminta kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan itu memberi implikasi sendiri dimana STAR menyatakan bahawa gabungan parti tempatan itu memberi banyak kerusi kepada PH.
“Pemergian STAR dan SAPP ini harus dilihat PH sebagai isyarat bahawa mereka tidak boleh terlalu meminta kerusi yang banyak kerana dia ada implikasi sendiri dan salah satu daripada sebab yang dinyatakan oleh STAR apabila mereka keluar ialah kerana kita terlalu memberi banyak kerusi pada PH.
“Jadi ada pengajaran daripada pemergian STAR ini, maksudnya, bahawa dalam kita berunding mengagihkan kerusi antara PH dan GRS. Harapan sayalah, PH kalau boleh memahami keperluan kenapa GRS itu perlu mendapat kerusi yang lebih banyak.
“Ini adalah untuk memastikan segmen lokal itu adalah segmen yang besar kerana kalau tidak dia akan mengakibatkan pertelingkahan rakan lokal itu boleh berpecah dan sebagainya dan sedikit sebanyak ini juga akan menjejaskan peluang calon-calon PH untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah program audio siar baru-baru ini.
STAR dan SAPP keluar GRS minggu lalu selepas kedua-duanya mahu bertanding menggunakan logo masing-masing pada PRN. Mereka juga dilaporkan berhasrat meletakkan calon menentang PH.
PH sebelum ini dilaporkan menyasarkan 23 kerusi pada pilihan raya negeri berkenaan. Menurut Malaysiakini, PH mencadangkan PKR diberikan 13 kerusi manakala baki 10 dibahagi sama rata antara DAP dan UPKO.
Sementara itu, Masidi berkata, tindakan rakyat Sabah akhirnya akan membuat pilihan sendiri, sama ada untuk mengekalkan kestabilan politik atau memilih perubahan berdasarkan tuntutan emosi dan aspirasi politik mereka.
“Di luar emosi mereka, sama ada mahu memindah kestabilan politik, atau sekadar memenuhi tuntutan emosi politik, mereka memilih untuk keluar. Kita tidak boleh halang, kita mesti hormati,” katanya lagi.
Lebih menarik, beliau menekankan bahawa perbezaan dan ketidaksefahaman dalam politik adalah perkara biasa dan merupakan “asam garam” dalam sistem demokrasi yang sihat.
“Asas kepada semua demokrasi yang segar dan berdaya adalah kesediaan untuk bersedia tidak bersetuju dan menerima perbezaan. Itulah politik,” ujarnya.
Pemergian STAR dan SAPP dilihat bukan hanya sebagai cabaran kepada GRS, tetapi juga sebagai satu cerminan dinamik politik di Sabah yang sentiasa berubah-ubah dan memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskan perbezaan demi kepentingan rakyat. – SABAH MEDIA