Read Time:1 Minute, 8 Second
TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah menafikan dakwaan kononnya beliau menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai seperti yang dilaporkan sebuah portal tempatan pada Isnin.
Liew menegaskan, laporan berkenaan tidak tepat dan hanya bersifat spekulasi semata-mata kerana beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau tidak rasmi berkaitan sokongan kepada mana-mana calon.
“Saya mengesahkan laporan media portal berkenaan adalah tidak tepat kerana saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan sokongan kepada mana-mana calon termasuk di Merotai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai calon bertanding di DUN Merotai kerana proses perbincangan masih dijalankan.
“Keputusan calon hanya akan dibuat melalui perbincangan jawatankuasa yang terdiri daripada wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
“Di peringkat GRS pula, rundingan juga masih berjalan dan pastinya akan menjaga kepentingan setiap parti komponen,” katanya.
Dalam masa sama, Liew turut berterima kasih kepada media kerana memberi perhatian terhadap suara rakyat Merotai.
“Setidaknya suara orang kampung saya, Merotai, kedengaran sampai ke Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pihak portal berkenaan telah mengakui berlaku kesilapan dalam laporan mereka dan berita tersebut hanyalah spekulasi.
Beliau menasihatkan semua pihak, khususnya media, supaya tidak menyiarkan sebarang laporan tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. – SABAH MEDIA