Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Gagasan Rakyat Sukau kekal bersatu dan utuh

Read Time:1 Minute, 26 Second

SUKAU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau menegaskan kekuatan dan persiapan jentera parti di kawasan itu kekal utuh serta tidak terjejas dengan tindakan Datuk Saddi Abdul Rahman dan beberapa penyokongnya yang keluar daripada parti tersebut baru-baru ini.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Sukau Badrul Hisham Juhari berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan terbuka dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang mendedahkan pendirian sebenar pihak berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Kami melihat tindakan ini sebagai satu keputusan tepat kerana ia membuktikan siapa mereka sebelum PRN bermula.

“Mereka selama ini hanya berselindung di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sambil menikmati jawatan dan kedudukan dalam GLC serta agensi daerah,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Jumaat.

Beliau menegaskan, walaupun pemergian beberapa individu tersebut dianggap mengejutkan sesetengah pihak, ia tidak memberi kesan besar kepada persiapan jentera GRS Sukau yang kini semakin kukuh di bawah pimpinan Ketua Bahagian, Datuk Juhari Janan.

Badrul turut mendakwa bahawa sepanjang tempoh memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Saddi didakwa kurang menunjukkan komitmen terhadap perjuangan parti di peringkat akar umbi, selain lebih gemar bergerak secara individu dalam isu-isu setempat seperti pembangunan Pekan Baharu Sukau.

“Rakyat sudah muak dengan siri lompatan politik yang sama. Kami percaya pengundi di Sukau kini lebih matang dan tidak mudah terpedaya dengan permainan politik kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Badrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat Sukau kini dalam keadaan siap siaga menghadapi PRN Sabah yang bakal diumumkan kelak, dengan tumpuan penuh untuk menawan kerusi DUN Sukau bagi GRS.

“Kami akan berdiri teguh di belakang Datuk Juhari Janan sebagai calon tunggal GRS di Sukau.

“Inilah masa untuk kita pertahankan rumah sendiri dan pastikan kerusi ini kekal milik GRS,” tegasnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE